Perdana Menteri berharap pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangkang seharusnya menghormati keputusan rakyat kerana ia adalah satu daripada prinsip penting dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.
"Kita mesti terima apa jua keputusan rakyat, kalau dia (pembangkang) percaya pada demokrasi, dia tidak boleh menolak sesuatu yang diputuskan oleh rakyat.
"Kalau kita menyanjung prinsip demokrasi berparlimen, itulah hakikatnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur, semalam.
Najib berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat agar memandang serius ancaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan Kuala Lumpur seperti Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sekiranya hasrat beliau menjadi perdana menteri tidak kesampaian pada pilihan raya umum nanti.
Najib berkata sekiranya pembangkang tidak menghormati undang-undang, ia akan mewujudkan satu keadaan yang menolak "rule of law" atau kedaulatan undang-undang dan kesannya adalah buruk kepada negara.
"Menghormati undang-undang adalah prinsip asas dalam negara, perjalanan demokrasi menuntut kepada kita menghormati undang-undang negara," katanya.
Katanya beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkemampuan untuk memastikan pilihan raya yang diadakan adil dan bersih.
Sementara itu, Najib menafikan bahawa kenyataan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap perkauman apabila menyifatkan seruan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya orang ramai memakai baju berwarna merah, hijau dan kuning pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada 11 Feb ini sebagai kerja bodoh.
Beliau berkata majlis itu diadakan semata-mata untuk meraikan perayaan yang sangat bermakna kepada kaum Cina di negara ini.
"Mengapa majlis yang bertujuan baik hendak dicemar dengan unsur-unsur politik yang tidak ada kena-mengena dengan majlis berkenaan, kalau dia (pembangkang) hendak buat majlis, buatlah, kita tidak halang, kenapa nak turunkan poster 1Malaysia dan gambar saya, itu perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.
Lim dalam kenyataannya hari ini berkata beliau kesal dengan kenyataan Muhyiddin yang beliau "bodoh" dan disifatkan sebagai "perkauman" apabila menggesa orang ramai memakai baju dalam tiga warna itu pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina BN di Pulau Pinang.
Majlis sambutan yang dijangka menarik 60,000 orang dengan kehadiran bintang penyanyi sensasi K-pop, Psy turut mendapat kritikan pembangkang atas undangan penyanyi yang terkenal dengan lagu "Oppa Gangnam Style".
"Dia kata ubah DAP style, dia tiru Gangnam Style, walhal dia nak jemput Psy untuk satu majlis atas nama pakatan rakyat tetapi apabila Psy hadir majlis kita, rosak program dia lah, itu cerita sebenarnya, dia tak dapat, dia kutuk," kata Najib.
No comments:
Post a Comment