Wednesday, February 20, 2013

Anuar Tidak Sabar Untuk Gegar LTdL 2013



Jaguh pecut negara, Anuar Manan semakin teruja untuk memulakan kayuhan pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013. Anuar, 27, yakin dengan kemampuannya untuk melakar satu lagi kejutan meskipun pada edisi ke-18 kali ini, dia akan menyarung jersi pasukan baharu - Synergy Baku Cycling Project (BCP).

"Untuk perlumbaan LTdL tahun ini, saya sudah membuat persiapan yang rapi bersama jurulatih, Jeremy Hunt di Melbourne, Australia.

"Saya juga berasa sedikit teruja, terutamanya selepas melihat latar belakang rakan-rakan sepasukan yang tidak kurang hebatnya.

"Saya turut membuat persiapan dengan menyertai beberapa perlumbaan pada awal tahun ini dan ia dianggap sebagai persediaan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Jadi, saya rasa saya sudah bersedia untuk beraksi bersama pasukan baharu," kata pelumba kelahiran Kampung Kuala Ibai, Terengganu itu kepada pemberita di Pulau Langkawi, Kedah semalam.

Ketika ditanya mengenai kekuatan BCP, Anuar berkata, pasukan benua dari Azerbaijan itu tampil serba lengkap kerana memiliki kelebihan dari semua aspek.

Selain dibarisi barisan pelumba agresif, pasukan itu turut mempunyai pelumba pendakian yang baik manakala Anuar dan Rico Rogers dari New Zealand dianggap sebagai pelumba pecut.

Sementara itu, Anuar yakin barisan pelumba Malaysia akan melakukan kejutan seperti mana yang dilakukannya pada tahun 2010.

"Sebelum ini tidak ramai pelumba Malaysia yang menyertai perlumbaan ini tetapi tahun ini jumlah itu sudah bertambah seramai 16 orang. Tidak mustahil salah seorang daripada kami mampu melakar kejutan kerana saya pernah melakukannya.

"Selain Harrif (Saleh), pasukan Malaysia turut disertai ramai pelumba berpengalaman dan pelumba muda yang sedang meningkat naik. Jadi, tidak ada masalah untuk mencatat keputusan yang baik tahun ini," katanya.

Untuk rekod, Anuar pernah mencipta sejarah pada 2010 apabila melakar kejayaan berganda. Anuar yang ketika itu menyarung jersi pasukan Guemsan Ginseng Asia mencipta kejutan apabila menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi satu peringkat perlumbaan.

Dia menguasai peringkat kelima dari Muar, Johor ke Port Dickson, Negeri Sembilan sejauh 111.5 kilometer.

Kejayaan tersebut membuka ruang kepada Anuar untuk dinobatkan selaku Raja Pecut pada edisi ke-15 perlumbaan berprestij di Asia yang memenang status Hors itu.


\Kosmo!

No comments:

Post a Comment