Saturday, February 2, 2013

Azizul, Josiah Sandaran Negara Buru Pingat ACC

Pakar pecut, Mohd Harrif Salleh dari TSG akan turut serta.

Tanpa meletakkan sasaran di bahu jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, Josiah Ng (kanan) bakal menggalas sandaran sebagai percaturan utama negara memburu pingat pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, Mac ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Abd Wahab berkata Josiah yang juga pemenang emas keirin pada ACC di Kuala Lumpur, tahun lalu diharap mampu mengulangi kejayaan sama memandangkan Azizulhasni belum dapat menyertai latihan di Melbourne sehingga hari ini.

“Josiah sudah lama berlatih dan ketua jurulatih, John Beasley percaya dia berada di prestasi terbaik namun bagi Azizulhasni ACC ini lebih kepada medan pemanas badan buatnya,” katanya mengumumkan senarai nama 38 peserta negara ke ACC selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan MNCF, semalam.

Azizulhasni akan hanya menyertai dua acara - keirin dan pecut individu sementara Josiah diturunkan dalam empat acara – keirin, pecut individu dan berpasukan, 1km ujian masa individu.

Acara lebuh raya pula bakal menyaksikan pakar pecut, Mohd Harrif Salleh dan Mohd Zamri Salleh dari Terengganu Cycling Team (TSG) menguatkan lagi skuad elit lelaki memandangkan laluan nanti adalah landai.

“Kami mengharapkan satu pingat daripada elit lelaki dan wanita dapat dihasilkan kali ini selepas Zamri hanya menduduki tempat keempat tahun lalu. Kami juga mengharapkan Adiq Hussainie (Othman) yang menyertai kategori bawah 23 tahun dapat menghasilkan emas selepas meraih perak tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment