Saturday, February 2, 2013

Kes Tetak - Polis Besut Cari Dua Individu

Mohd Badrul(kiri) dicari polis untuk bantu siasatan berhubung kes tetak
Orang ramai diminta membantu mengesan dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dua kes tetak, di Pengkalan Nyireh dan Bukit Keluang yang berlaku Selasa dan Rabu lepas.

Lelaki dikenali Mohd Badrul Hisyam Mat Ail, 25, dengan alamat terakhir di Rumah Awam Pengkalan Nyireh dekat Kampung Raja diperlukan untuk membantu siasatan kes tetak seorang buruh, Azam Abdullah, 43, di sebuah bengkel di kampung jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah tangan dan kaki serta patah betis kanan diserang dua lelaki menggunakan pedang ketika berada di bengkel tersebut.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai kerana dendam lama apabila suspek utama pernah dipukul oleh mangsa kerana salah faham tentang bayaran upah mengangkut pasir, Disember tahun lalu.

“Individu kedua yang dikehendaki tampil membantu siasatan ialah anak Azam iaitu Mohd Azuan Sharul Aman, 21, dan alamat terakhir di Kampung Keluang, berhubung kes adik Mohd Badrul Hisyam iaitu Mohd Amirul Faiz, 23, yang cedera parah selepas ditetak, dipercayai dalam kejadian serang balas oleh pihak Azam jam 3.30 pagi kelmarin,” katanya.

Kamaruddin berkata, Mohd Amirul Faiz cedera di seluruh badan akibat ditetak di Kampung Pengkalan Nyireh kemudian di hantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Sebelum itu, Azam pula dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit boleh menghubungi ASP Kamsani Hassan atau Inspektor Saiful Bahri Baharim di talian 09-6956222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, difahamkan Mohd Amirul Faiz tidak tahu menahu mengenai kejadian tetak melibatkan Azam dan dia dikatakan menjadi mangsa balas dendam

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment