Saturday, February 2, 2013

Bina Lebuh Raya Gemuruh-Kuala Jeneris RM400 Juta Tahun Ini


Projek pembinaan lebuh raya sepanjang 24 kilometer dari Gemuruh di Kuala Terengganu ke Kuala Jeneris di sini dijangka akan bermula tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya dengan kos RM400 juta itu dapat memendekkan jarak perjalanan dan menjimatkan masa demi keselesaan penduduk dan pelancong yang ingin ke Tasik Kenyir.

"Pembinaan lebuh raya ini dapat dapat memendekkan masa perjalanan kepada 20 minit berbanding 90 minit sebelum ini dan harap kemudahan ini dapat merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di Kuala Berang khususnya di Tasik Kenyir," katanya ketika merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul yang dihadiri 40,000 orang di Kuala Berang, kelmarin.

Beliau sebelum itu mengetuai perarakan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan dan berakhir di padang Astaka Kuala Berang yang turut disertai 225 kontinjen termasuk jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad Said juga berkata sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013), kerajaan negeri akan membeli lebih banyak bot besar yang mampu memuatkan 100 penumpang pada satu-satu masa untuk ke Tasik Kenyir.

"Kita juga akan menyediakan pinjaman khas kepada pengusaha bot sedia ada untuk membeli bot yang lebih sesuai supaya mereka boleh menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

"Kita tidak mahu imej Tasik Kenyir tercalar dengan kemudahan pengangkutan air yang tidak efisyen, malah mahu pengusaha bot sedia ada mengutamakan kebersihan sepanjang berurusan dengan pelancong," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran 40,000 penduduk setempat ke majlis itu, Ahmad menegaskan ia adalah manifestasi sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Pembangkang tak akan hadir dalam majlis seperti ini, yang datang hanyalah mereka yang memberi sokongan kepada kerajaan dan saya yakin Parlimen Hulu Terengganu akan terus menjadi milik BN serta merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir," katanya.

No comments:

Post a Comment