Pengerusi masjid, Zaidi menunjukkan tabung masjid yang menjadi sasaran dua suspek terbabit. |
Berang dengan tindakan dua lelaki cuba mencuri wang tabung masjid, penduduk Kampung Surau Haji Mat Zain menggantung motosikal ditinggalkan suspek pada sebatang tiang telefon di kampung berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, seorang penduduk ternampak dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di dalam perkarangan masjid kampung itu.
Motosikal jenis Honda EX5 yang digantung pada tiang telefon di Kampung Surau Haji Mat Zain, Marang ini kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada pihak polis pagi kelmarin. |
Kehadiran penduduk mengejutkan dua suspek terbabit yang kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan motosikal dinaiki mereka.
Selepas pemeriksaan, penduduk mendapati tabung masjid berpindah tempat. “Tabung yang terletak di ruang solat utama lelaki itu didapati dipindahkan ke tempat solat wanita, dua suspek terbabit dipercayai ingin mengambil wang dalam tabung itu,” katanya ketika ditemui di masjid itu,kelmarin.
Zaidi juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung itu berkata, penduduk yang berang dengan perbuatan itu bertindak menggantung motosikal dinaiki suspek pada tiang telefon berdekatan masjid.
“Penduduk kampung berjaga sehingga Subuh, menunggu dua suspek terbabit jika mereka datang menurunkan motosikal. Namun mereka tidak berbuat demikian sehingga pagi tadi,” katanya semalam.
Zaidi berkata, motosikal jenis Honda EX5 itu kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran kepada segelintir pihak agar tidak mengulangi perbuatan itu.
“Kami sentiasa membuat rondaan dan bekerjasama dalam menjaga keselamatan kampung dan orang ramai berikutan jenayah kecil sering berlaku pada waktu malam di sini,” katanya.
SH Online
No comments:
Post a Comment