Saturday, February 16, 2013

Hariff Idam Gelaran Raja Pecut LtDL 2013


Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh meletakkan sasaran untuk menyandang gelaran Raja Pecut pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTDL) ke-18 dari 21 Februari hingga 2 Mac ini.

Menurut pelumba berusia 25 tahun itu, sasaran dibuat berdasarkan posisi sprinter yang akan dipikulnya nanti.

Namun anak kelahiran Kampung Ladang ini mengakui peluang untuk meraih gelaran itu agak sukar namun yakin dengan kebolehan dan kerjasama ahli pasukan yang lain selain faktor beraksi di laman sendiri, idaman itu dapat dicapai.

"Biarpun agak mustahil, namun saya tetap akan mencabar diri saya untuk menyandang gelaran itu dan saya bersama pelumba TSG yang lain telah bersedia untuk menyahut cabaran LTdL nanti.

"Saya akan melakukan yang terbaik pada kejohanan kali ini dan saya akan pastikan pelumba TSG dapat menaiki lebih banyak podium berbanding tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Harrif yang akan mengetuai cabaran pada kali ini berkata beliau sudah bersedia hampir 90 peratus dari segi fizikal dan mental.

Katanya tahun ini latihan lebih banyak diadakan di dalam negara supaya pelumba TSG lebih memahami selok-belok laluan dan pendakian.

"Kami tetap akan memberikan yang terbaik dan kesemua pelumba yang menggalas cabaran ini merupakan anak jati Terengganu dan ini adalah peluang kami untuk membuktikan kami mampu bersaing dengan pelumba yang lain. "Saya akui saingan sengit menanti kami pada kejohanan itu, namun rata-rata pelumba TSG mempuyai kelebihan dan pengalaman sendiri untuk digunakan sepanjang cabaran," katanya.

Berdasarkan keputusan dalam saingan LTdL edisi ke-17 yang lepas, TSG yang ketika itu turut disertai oleh pelumba dari Korea dan Jepun berjaya menduduki tangga ke-10 daripada 22 pasukan keseluruhan serta tangga ketiga bagi kategori Asia.

Selain itu, pelumba TSG juga berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali iaitu pada peringkat keempat (tempat ketiga), kelapan (tempat kedua) serta kesepuluh (tempat keempat).

No comments:

Post a Comment