Wednesday, February 27, 2013
Hujan Jejaskan Misi Anuar Jejak Kaki Di Podium
Hujan lebat dan keadaan jalan yang licin menjejaskan misi pelumba pecut negara, Anuar Manan untuk menaiki podium pada peringkat keenam kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.
Anuar, 27, daripada pasukan Synergy Baku Cycling Project, terpaksa berpuas hati di tempat ke-10 di belakang rakan senegara, Mohd. Harrif Saleh (Terengganu Cycling Team) pada perlumbaan dari Mentakab ke Kuantan sejauh 217.5 kilometer (km) itu semalam.
Kegagalan tersebut turut menyukarkan impian pelumba kelahiran Kampung Kuala Ibai, Terengganu itu untuk mengulangi pencapaian terbaik pada LTdL 2010.
Pada tahun tersebut, Anuar melakar sejarah menjadi pelumba Malaysia pertama memenangi perlumbaan peringkat dan menamatkan saingan selaku Raja Pecut.
"Perlumbaan hari ini (semalam) memang laju meskipun para pelumba terbaik mengharungi hujan lebat kira-kira 25km menuju ke garisan penamat.
"Saya berjaya mengutip lima mata di zon pecut pertama dan mata bonus selepas menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.
"Hari ini saya meletakkan sasaran untuk menaiki podium tetapi berlaku beberapa pemecahan kelompok termasuk pada beberapa kilometer menuju ke garisan penamat.
"Keadaan hujan dan jalan licin memaksa saya untuk lebih berhati-hati kerana masih ada empat peringkat untuk diharungi. "Hari ini (semalam) saya memang mahu mengutip banyak mata kerana Andrea Guardini (Astana Pro Team) turut mengutip mata di zon pecut pertama dan ketiga.
"Meskipun saya tidak mampu untuk mengutip mata di zon pecut ketiga kerana kayuhan pelumba hadapan sangat laju, namun saya tetap berpuas hati," katanya.
Ketika ditanya mengenai penarikan diri pelumba Blanco Pro Cycling Team (BLA), Theo Bos, Anuar tetap merendah diri mengenai peluangnya untuk menyarung Jersi Biru kerana masih ramai pelumba pecut beraksi pada tahun ini.
Selepas mengharungi enam peringkat perlumbaan, Anuar yang mengumpul 43 mata, ketinggalan di belakang Guardini (57 mata) manakala Wang Meiying daripada Hengxiang Cycling Team di tempat ketiga (36 mata).
Kosmo!
No comments:
Post a Comment