Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas tersedak susu ketika berada bersama neneknya di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang di Dungun, kelmarin.
Nur Azmaniena Aman dikatakan tidak sedarkan diri selepas minum sebotol susu sebelum muntah, kira-kira jam 4 petang.
Neneknya, Ramlah Othman, 58, berkata kira-kira dua jam sebelum itu, cucunya meminta sebotol susu dan duduk minum sambil bermain bersama kakak dan adiknya.
Bagaimanapun sebaik habis sebotol susu, kanak-kanak itu muntah dan terbaring di atas tilam, katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Panik melihat keadaan cucu yang tidak bermaya, beliau memanggil suaminya Awang Latif, 69, yang sedang mandi lalu meminta bantuan seorang jiran untuk melihat keadaan itu.
Ramlah berkata jiran yang datang melihat keadaan Nur Azmaniena bagaimanapun mengesahkan cucunya itu telah meninggal dunia sebelum dia ke Ibu Pejabat Polis Dungun untuk membuat laporan kira-kira jam 5.45 petang.
"Polis yang membuat pemeriksaan kemudiannya membawa jenazah cucu saya ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya.
Rahmah berkata dia memelihara lima cucunya itu sejak setahun lepas setelah bapa kanak-kanak terbabit meninggal setahun lalu manakala ibu mereka Che Wan Nasharinawati Che Wan Abdullah, 26, bekerja di Kelantan sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata kes berkenaan tidak mempunyai unsur jenayah.
Jenazah mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Gong Pasir, selepas selesai bedah siasat.
No comments:
Post a Comment