Thursday, February 21, 2013

Beberapa Jalan Di Klang Ditutup Sempena LTdL 2013

Beberapa laluan sekitar Klang di sini akan ditutup sementara mulai Sabtu (23 Feb) sehingga Ahad (24 Feb) bagi memberi laluan kepada kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohamad Shukor Sulong berkata penutupan bermula dari persimpangan lampu isyarat Jalan Perbandaran sehingga lampu isyarat Jalan Bukit Kapar Kuari mulai 11 malam Sabtu sehingga 7 pagi keesokan harinya.

Beliau berkata penutupan jalan pada Sabtu itu, bagi membolehkan pihak penganjur memasang pagar besi dan halangan di sekitar laluan berkenaan.

"Pengguna jalan raya dari arah Kuala Selangor yang mahu menuju ke bandar Klang dan Kuala Lumpur boleh menggunakan beberapa laluan alternatif yang telah disediakan iaitu Jalan Perbandaran dan Jalan Bukit Kapar 1," katanya kepada pemberita di Klang, semalam.

Penutupan jalan pada Ahad, bermula dari persimpangan Kampung Tok Muda hingga persimpangan lampu isyarat Jalan Kapar, mulai 7 pagi bagi memberi laluan kepada pelumba yang dijangka tiba di pekan Kapar pada 1.30 petang.

Penutupan jalan berlanjutan sehingga acara selesai kira-kira 6 petang, katanya. Katanya, seramai 106 anggota polis terlibat mengawal lalu lintas di sekitar lokasi perlumbaan dan memberi bantuan kepada pengguna jalan raya.

No comments:

Post a Comment