Thursday, February 14, 2013

Kaum Tionghua Sokong Penuh Barisan Nasional


Rosli bersama rombongan Pejabat Dun Kemasik berkunjung ke sembilan rumah termasuk ke rumah keluarga Ong See King, 79, di Air Jernih sempena Tahun Baru Cina.
Komuniti Tionghua di Air Jernih diyakini akan memberi sokongan penuh kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekali gus membantu memastikan kerusi Dun Kemasik dapat dipertahankan parti itu.

Adun Kemasik, Ir Rosli Othman berkata, malah dalam PRU10 pada 1999 undi di kawasan itu menjadi penyelamat dan membantu memastikan Dun Kemasik terus dimiliki BN.

Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke rumah penduduk Tionghoa dekat sini sempena meraikan tahun ular pada Ahad lalu.

Rosli bersama rombongan Pejabat Dun Kemasik seramai 50 orang mengunjungi sembilan rumah penduduk Tionghua di Kemasik dan Air Jernih.

Terdahulu, beliau turut menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kerteh, Kampung Tengah, Kerteh yang dihadiri 16 keluarga Tionghua sekitar kawasan itu.

Sempena majlis itu, seramai 20 warga emas menerima bantuan daripada Rosli, selain sijil turut diberikan kepada anak-anak kaum Tionghua lepasan universiti.

Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Cina Pekan Kerteh, Leom Joo Dek pula menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kerteh.

Mengulas lanjut, Rosli memberitahu komuniti Cina di Air Jernih berjumlah 126 keluarga dengan pengundi 519 orang.

Menyentuh mengenai amalan berkunjung ke rumah masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina itu, menurutnya ia sudah menjadi tradisi sejak wakil rakyat terdahulu lagi bertujuan mengeratkan hubungan dengan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu, Ong Tun Chiau, 38, berkata, kedatangan rombongan Adun Kemasik itu menyerikan sambutan Tahun Baru Cina di rumah ibu bapanya yang menjadi tempat seluruh ahli keluarga mereka berkumpul.

“Kami berbesar hati menerima kunjungan orang Melayu dan India yang menjadikan sambutan perayaan lebih meriah,” katanya.

No comments:

Post a Comment