Thursday, February 14, 2013

Keselamatan - Terengganu Larang Pasang Bendera Di Jambatan, Bulatan


"Selain jambatan dan bulatan, beberapa lagi kawasan yang tidak dibenarkan pemasangan bahan-bahan parti politik ialah di persimpangan-persimpangan lampu isyarat, masjid ataupun mana-mana tempat ibadat, premis-premis milik kerajaan negeri dan persekutuan serta tiang-tiang lampu jalan."
 - Datuk Seri  Ahmad Said
 
Kerajaan Negeri Terengganu menguatkuasa larangan pemasangan bendera mana-mana parti di semua jambatan dan bulatan berkuatkuasa serta merta di negeri ini mulai semalam  demi keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengeluarkan notis amaran kepada semua parti politik di kawasan masing-masing agar tidak memasang bendera di dua lokasi berkenaan.

PBT diminta memastikan semua bendera parti politik tidak dipasang di jambatan sama ada sekarang mahu pun semasa kempen pilihan raya berikutan bantahan dan rungutan orang ramai mengenai tindakan itu boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal apabila bendera itu terjatuh di jalan raya, katanya.

"Selain jambatan, kita juga tidak membenarkan bendera dipasang di bulatan kerana boleh menghalang dan menjejaskan pandangan pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai PBT dengan parti-parti politik bahawa pemasangan atau penggantungan bendera, kain rentang dan poster parti-parti politik adalah tidak dibenarkan di beberapa lagi kawasan tumpuan.

Selain jambatan dan bulatan, beberapa lagi kawasan yang tidak dibenarkan pemasangan bahan-bahan parti politik ialah di persimpangan-persimpangan lampu isyarat, masjid ataupun mana-mana tempat ibadat, premis-premis milik kerajaan negeri dan persekutuan serta tiang-tiang lampu jalan, katanya.

Ahmad Said berkata, jika gagal mematuhi arahan berkenaan, PBT akan bertindak menurunkan dan merampas bendera berkenaan serta mengenakan denda kepada mana-mana parti politik terbabit. "Kita ada kuasa mendenda mereka, tetapi buat permulaan kita merampas dulu bendera berkenaan. Ini kerana apa jua pemasangan di kawasan PBT perlu mendapatkan kebenaran PBT terlebih dahulu, jadi kita berhak mengambil tindakan ke atas mereka yang ingkar dengan amaran kita," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan parti pembangkang yang sewenang-wenangnya membuat pengubahsuaian pada tiang lampu di bandar ini untuk memasang bendera besar parti mereka sehingga mencacatkan pemandangan serta merosakkan harta benda awam.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menasihat semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak pilih kasih dalam mengambil sebarang tindakan kepada parti politik bagi mengelak wujudnya ketegangan dalam masyarakat.

Pengarahnya, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata sebagai contoh isu pemasangan bendera parti politik di luar tempoh kempen perlu ditangani dengan adil dan sebarang tindakan perlu seragam kepada semua parti politik.

"Janganlah pula parti A boleh, parti B tak boleh. SPR nasihat PBT supaya laksanakan peraturan kecil yang tertakluk dalam setiap PBT bagi mengatasi masalah ini," katanya pada sidang media selepas memberi taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kepada media di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai keghairahan parti-parti politik memasangbendera masing-masing termasuk di lokasi yang tidak bersesuaian seperti di atasjambatan dan bulatan jalan raya di luar tempoh kempen PRU-13.

Secara asasnya, beliau berkata setiap permohonan (pemasangan bendera) perludibuat dengan PBT. "Di luar tempoh kempen, PBT yang berkuasa penuh dalam perkara ini dan mereka boleh bertindak mengikut peraturan sedia ada.

"Bagi SPR pula, kami akan melantik dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi setiap kawasan Parlimen untuk memantau perkara ini sebaik sahaja penamaan calon," katanya.

Pasukan penguatkuasa ini terdiri dari sekurang-kurangnya lima anggota iaituwakil PBT, wakil polis dan wakil-wakil dari parti yang bertanding.

No comments:

Post a Comment