Monday, February 4, 2013

Kilang Papan Di Mengabang Telong Digalakkan Berpindah

Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha kilang papan yang beroperasi di Kampung Mengabang Telong di Kuala Terengganu, mengenai kemungkinan untuk berpindah berikutan aduan penduduk yang kehidupan mereka tidak selesa akibat habuk dari kilang terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw berkata pada awalnya kilang itu beroperasi di kawasan yang selamat dan tiada penduduk.

"Namun, seiring dengan pembangunan yang rancak menyebabkan banyak projek perumahan dibuka di kawasan berhampiran kilang itu seterusnya menjadikan kawasan itu tidak lagi sesuai sebagai kawasan operasinya.

"Dalam keadaan ini kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak, sebab itu saya menggalakkan agar pengusaha terbabit memindahkan operasinya ke kawasan industri lain yang lebih sesuai," katanya di Kuala Trengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan penduduk yang mendakwa mengalami pelbagai masalah kesihatan akibat habuk dari kilang itu seperti gatal-gatal di badan, sakit tekak dan batuk berpanjangan.

No comments:

Post a Comment