Thursday, February 28, 2013

Laluan Peringkat Ke 8 LTdL 2013 Guna Laluan Alternatif

Laluan Peringkat Ketujuh  (Kuantan-Dungun) semalam agak licin kerana hujan.
Pertandingan Peringkat Keenam dari Mentakab-Kuantan kelmarin turut berlangsung dalam hujan.
Perlumbaan peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL)hari ini akan bermula di Kuala Terengganu dan berakhir di Tanah Merah sejauh 164.5km.

Bagaimanapun perlumbaan peringkat kelapan akan menggunakan laluan alternatif berikutan keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan.

"Selepas mesyuarat mengenai penetapan laluan peringkat kelapan semalam, kita telah membuat keputusan bahawa laluan alternatif akan kita gunakan sekiranya keadaan banjir masih lagi kekal.

 "Untuk peringkat kelapan kita akan menggunakan tempat pelepasan permulaan dan penamat yang sama, cuma selepas melalui Tok Bali, perlumbaan tidak akan melalui Pasir Puteh tetapi kita akan mengalih laluan ke Jelawat, Bachok dan Machang untuk ke Tanah Merah," kata ketua pegawai operasi LTdL Emir Abdul Jalal semalam.

Menurut beliau daripada lencongan yang dilakukan itu, jarak laluan perlumbaan akan bertambah lebih 20km. Laluan asal peringkat kelapan dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah akan melibatkan jarak sejauh 164.50km dan jarak perlumbaan yang baru ialah 188km.

"Bagi peringkat kesembilan pula memandangkan kedua-kedua tempat permulaan dan penamat ditenggelami air, kita akan menukar keseluruhan laluan.

"Bagaimanapun, penganjur hanya akan mengumumkan laluan peringkat kesembilan malam esok. Jika keadaan banjir sudah surut, kita akan kekal dengan laluan asal," katanya.

Mengikut laluan asal perlumbaan peringkat kesembilan akan bermula di Pasir Puteh, Kelantan dan berakhir di Kuala Berang, Terengganu dengan jarak 123.60km.

Emir berkata sekiranya keadaan banjir tidak berubah, pelepasan pelumba akan dilakukan dalam jajahan Tanah Merah iaitu di Bukit Yong ke Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu untuk mengelakkan risiko banjir di Pasir Puteh dan Kuala Berang.

Jika perlu menggunakan laluan alternatif, Emir berkata jarak baru perlumbaan akan diumumkan esok.

Kali terakhir pihak penganjur terpaksa mengubah perlumbaan ke laluan alternatif akibat banjir ialah pada 31 Jan, 2011 iaitu pada peringkat kesembilan perlumbaan dari Melaka ke Nilai, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment