Thursday, February 28, 2013

Banjir Di Tiga Negeri, Termasuk Terengganu Semakin Pulih


Empat kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk bermain air di tengah jalan raya di Kampung Cerang Meliling, Jerteh yang ditenggelami banjir dan ditutup kepada kenderaan ringan sejak awal pagi semalam.
Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Setiu Hasmadi Hasbullah memeriksa tekanan darah pesakit jantung, Ismail Husain, 69, yang dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir di Permaisuri, Setiu, semalam.
Keadaan banjir di tiga negeri semakin pulih malam ini dengan sejumlah 3,642 mangsa banjir dipindahkan berbanding 5,012 orang pagi semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat 9.19 malam semalam,  Terengganu mencatat penurunan mangsa banjir iaitu 2,334 berbanding 3,679 orang pagi semalam dengan 30 pusat pemindahan dibuka, iaitu 26 di daerah Besut, tiga di Setiu dan satu di Hulu Terengganu.

Beginilah keadaan kawasan bebas cukai di Rantau Panjang, Kelantan yang dilanda banjir semalam. 

Di Perak, jumlah mangsa menurun kepada 178 berbanding 297 orang pagi tadi dengan dua pusat pemindahan dibuka, masing-masing satu di daerah Manjung dan Perak Tengah.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan sedikit menyusut pada sebelah malam apabila seramai 1,072 orang masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, keadaan banjir di negeri itu semakin baik petang tadi. Sementara itu, satu-satunya pusat pemindahan di Bachok, yang menempatkan 61 mangsa, ditutup petang tadi. Jajahan Pasir Mas masih menempatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 346 orang diikuti Tanah Merah (306), Tumpat (241), Kuala Krai (71), Pasir Puteh (67), Kota Baharu (24) dan Machang (17).

Sungai Golok di Rantau Panjang, dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah yang kini masih di paras bahaya, bagaimanapun, ia dilapor semakin surut secara beransur-ansur.

Tiada jalan utama yang ditutup pada kenderaan sehingga kini, dan keadaan cuaca secara keseluruhannya mendung, dengan sesekali hujan renyai.

No comments:

Post a Comment