Monday, February 11, 2013

Lebih 22,000 Rumah Dibaik Pulih, Dibina Semula

Lebih 22,000 rumah dibaik pulih atau dibina semula tahun lalu di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang dilaksana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sekali gus memberi manfaat kepada 110,425 isi rumah di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Hasan Malek berkata, program yang dilaksana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu, membabitkan peruntukan sebanyak RM302.9 juta, hanya untuk tahun lalu.

"Jumlah rumah yang dibaik pulih pada tahun lalu adalah sebanyak 17,439 buah, manakala 4,646 rumah lagi dibina semula bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak.

"Ia melebihi daripada jumlah yang disasarkan iaitu 14,565 unit rumah tahun lalu kepada keseluruhan 22,085 unit rumah dan ini pencapaian sebanyak 151.63 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek membaik pulih Rumah Pangsa Gentam, di Kuala Pilah semalam.

Katanya bagi Negeri Sembilan, sebanyak 395 buah rumah dibaik pulih tahun lalu, sementara 95 buah lagi dibina semula melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta yang memberi faedah kepada 2,450 isi rumah.

Katanya usaha tersebut merupakan pencapaian yang sangat memberangsangkan dan memberi manfaat besar kepada rakyat terutamanya penduduk di luar bandar, sekali gus membuktikan rakyat sentiasa didahulukan dan kerajaan menepati janji.

 Hasan berkata menerusi program PBR ini kerajaan menyediakan peruntukan berbeza bergantung pada lokasi kawasan rumah tersebut dengan pembinaan rumah baharu di Semenanjung Malaysia diperuntukan RM40,000, sementara di Sabah dan Sarawak, RM50,000.

Bagi membaik pulih pula sebanyak RM11,000 diperuntukan bagi setiap rumah di Semenanjung dan RM12,000 bagi Sabah dan Sarawak tidak termasuk kos lain yang mungkin dihadapi terutama bagi kawasan yang sukar dihubungi melalui jalan biasa, pedalaman, pulau dan tapak bermasalah, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berkata kerajaan memperuntukkan RM2.13 juta bagi membaiki tangki air dan sistem retikulasi, membaiki tangga, mengecat bangunan, menukar sistem pendawaian eletrik dan menaik taraf tempat letak kenderaan di Rumah Pangsa Gentam.

 "Saya berharap usaha-usaha pembaharuan ini tidak disia-siakan dan penambahbaikkan ini tidak akan bermakna dan berkekalan sekiranya tiada kesepakatan dan penglibatan daripada penduduk Rumah Pangsa Gentam," katanya.

No comments:

Post a Comment