Wednesday, February 13, 2013
Lemang Jadi Sajian Tahun Baru Cina di Terengganu
Mungkin kedengaran agak janggal apabila masyarakat Tionghua menjadikan lemang sebagai juadah pada sambutan Tahun Baru Cina namun perkara itu tidaklah pelik buat masyarakat Cina di Terengganu.
Lantaran itu, kedatangan Tahun Ular yang disambut meriah di negeri ini turut memberi limpahan rezeki kepada kira-kira 20 pengusaha lemang di Kijal, Kemaman yang mengakui hasil jualan mereka meningkat sepanjang musim cuti perayaan itu dengan kebanyakan jualan mereka dibeli oleh kalangan masyarakat Cina.
Lemang, makanan tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu, turut digemari kaum Cina dan dijadikan antara juadah hidangan musim perayaan mereka di negeri ini.
Seorang pengusaha lemang, Zubaidah Ismail, 45, berkata, sejak Sabtu lepas, gerainya tidak putus-putus dikunjungi penggemar lemang berbangsa Cina yang membeli secara borong sekitar 20 hingga 30 batang untuk dijamu kepada rakan taulan dan saudara mara yang berkunjung ke rumah mereka.
"Mereka cakap nak hidangkan kepada saudara mara yang datang dari luar Terengganu kerana keenakan lemang Kijal dan berbeza dari tempat lain.
"Ada juga pelancong berbangsa Cina yang singgah membeli, terutama dari Johor dan Singapura, sekembalinya mereka daripada beraya di Kuala Terengganu," kata Zubaidah yang membakar sehingga 1,200 batang lemang sejak Sabtu lalu, berbanding 100 batang pada hari biasa.
Tinjauan Bernama ke kawasan ini yang dikenali sebagai 'Lemang Valley' di tepi jalan utama sejauh kira-kira 15 kilometer dari pekan Kemaman mendapati banyak bas pelancong dari Singapura singgah untuk membeli juadah istimewa itu.
Selain lemang, turut dijual ialah pelbagai jenis rendang, serunding, satar, otak-otak dan jeruk buah-buahan hingga menjadikan Lemang Valley kawasan tumpuan ramai kerana menawarkan pelbagai makanan istimewa pada harga berpatutan.
Seorang pembeli, Tan Ah Kow, 54, ketika ditemui berkata, dia merasai lemang Kijal itu ketika beraya di rumah saudaranya di Kampung Cina, Kuala Terengganu.
"Memang sedap sebab semua rasa cukup lemak, masin dan manisnya. Jadi hala balik ke Melaka ni, saya singgah di sini untuk dibawa pulang untuk anak-anak di Melaka.
"Harga pun murah, tiga batang baru RM10 sedangkan di Melaka, sebatang sudah RM7 tau," katanya.
Untuk pengetahuan, masyarakat Cina Terengganu mengamalkan cara hidup Melayu dengan turut menjamu tetamu mereka dengan nasi dagang dan nasi minyak pada Tahun Baharu Cina ini.
Antara kawasan penempatan warga Cina yang masih mengamalkan budaya Melayu ini ialah Kampung Tiruk di Kuala Terengganu, Wakaf Tapai di Marang dan Kampung Fikri di Setiu.
No comments:
Post a Comment