Sunday, February 24, 2013

LTdL 2013 - Bos Sukar Digugat Pada Hari kedua

Pelumba pasukan Blanco Pro Cycling Team, Theo Bos (Jersi Kuning) menjuarai peringkat kedua LTdL 2013 semalam yang bermula dari Serdang, Kedah ke Kuala Kangsar, Perak sejauh 117 kilometer.
Pelumba Belanda, Theo Bos mempertahankan statusnya selaku pendahulu keseluruhan pada peringkat kedua Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 semalam.

Bos, 29, daripada Blanco Pro Cycling Team membuktikan kehebatannya apabila memenangi perlumbaan dari Serdang, Kedah ke Kuala Kangsar, Perak sejauh 117.8 kilometer (km) itu sekali gus mempertahankan kedua-dua jersi yang dimenangi pada hari pertama kelmarin.
Selain mempertahankan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan, juara dunia lima kali dalam acara trek ini turut menyarung Jersi Biru (Raja Pecut).

Pada perlumbaan semalam, Bos mengambil masa dua jam 54.48 minit untuk melepasi garisan penamat di hadapan Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk menewaskan Raja Pecut 2011 dan 2012, Andrea Guardini dari Astana Pro Team dan Aidis Kruopis (Orica-GreenEDGE). "Saya berasa gembira hari ini (semalam) kerana dapat meneruskan kemenangan yang saya lakar semalam (kelmarin).

Perlumbaan hari ini lebih sukar berbanding semalam. Jadi, kejayaan memenangi perlumbaan ini merupakan satu kelebihan buat saya. "Saya menghadapi masalah untuk melakukan kayuhan di peringkat pendakian. Jadi, saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menghadapi perlumbaan esok (dari Sungai Siput ke Cameron Highland). "Rakan sepasukan, Graeme (Brown) melakukan tugas dengan baik.

Dia membuka laluan untuk membolehkan saya memecut ke hadapan ketika perlumbaan berbaki 300m.

"Ketika itu, saya lihat salah seorang pelumba mengekori rapat tetap apabila saya melakukan henjutan kedua, pelumba itu sudah tiada. Pada masa itu, saya lihat kemunculan Guardini, tetapi saya berjaya melakukan kayuhan yang baik untuk melepasi garisan penamat," kata Bos.

Ketika ini, Bos mencatat masa keseluruhan enam jam 54.45 minit untuk memimpin saingan dalam perebutan Jersi Kuning di depan Guardini dengan kelebihan 10 saat manakala pelumba China, Wang Meiying dari pasukan Hengxiang Cycling Team (5:54.56s) Anuar Manan dari pasukan Synergy Baku Cycling Project muncul pelumba terbaik Malaysia apabila menduduki tempat kelima keseluruhan (6:54.59s). Bagi perebutan Jersi Biru pula, Bos kekal sebagai pendahulu selepas mengumpul 30 mata diikuti Guardini di tempat kedua (27 mata).

Saingan peringkat ketiga hari ini dijangka dikuasai barisan pelumba pendaki yang akan bermula dari Sungai Siput ke Cameron Highlands dengan jarak perlumbaan sejauh 140.7 kilometer dan tiga zon pecutan menanti pelumba pada saingan hari ini.

Kosmo

No comments:

Post a Comment