Friday, February 22, 2013

LTdL 2013 - Theo Bos Tunjuk Belang Awal, Pelumba China Jersi Merah

 

Pelumba pecut Belanda, Theo Bos membuktikan kehebatannya apabila menguasai peringkat pertama kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 semalam.

Selain menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan, pelumba Blanco Pro Cycling Team (BLA) itu turut dinobatkan selaku Raja Pecut (Jersi Biru) selepas mengutip 15 mata daripada tiga zon pecut.

Bos, 29, mengambil masa empat jam 11 minit untuk menamatkan kayuhan di laluan beralun sejauh 162.7 kilometer (km) dari Kangar, Perlis ke Kulim, Kedah.


Meskipun berlumba dalam keadaan cuaca panas terik sepanjang laluan, Bos berjaya menamatkan cabaran Raja Pecut 2011 dan 2012, Andrea Guardini. Guardini, 23, daripada Astana Pro Team (AST) melepasi garisan penamat di tempat ketiga manakala kedudukan kedua menjadi milik pelumba Team Europcar, Bryan Coquard dengan catatan masa yang sama.

Pelumba sandaran negara, Anuar Manan daripada Synergy Baku Cycling Project (BCP) dan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh masing-masing di tempat ketujuh serta 13.

"Saya sudah menjangkakan saingan hari ini (semalam) akan menjadi sukar apabila perlumbaan menuju ke garisan penamat kerana ramai pelumba pecut yang hebat menyertai kejohanan ini.

"Atas kertas, kami mempunyai kelebihan kerana ramai pelumba pecut dalam pasukan ini. Jadi, kelebihan sudah pasti memihak kepada saya. "Rakan sepasukan (Graeme Brown) banyak membantu saya, terutamanya ketika perlumbaan berbaki dua kilometer.

"Bagaimanapun, saya tidak menjangka akan mencatat kemenangan mudah dan saya tetap menghormati pencabar yang lain," kata Bos.

Bos yang juga juara dunia lima kali dalam acara trek berkata, dia tidak menjangkakan perlumbaan akan berakhir semudah itu pada saingan seterusnya. Ketika ditanya mengenai tradisi sebelum ini apabila pelumba yang memenangi peringkat pertama akan melakar lebih banyak kemenangan, Bos berkata, dia akan bekerja keras untuk mengulangi tradisi itu.

"Saya tidak tahu Brown dan Guardini menang banyak peringkat tetapi saya harap dapat mengikut jejak mereka," kata Bos.

Sementara itu, pelumba China, Wang Meiyin melakar kejutan apabila dinobatkan selaku Raja Bukit (Jersi Merah) dan pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih).

Pelumba Hengxiang Cycling Team (HEN) itu mengutip empat mata di zon pecut kategori empat (Cat 4) di Bukit Selambau (116.1km). Wang Meiyin turut mengutip 15 mata daripada tiga zon pecut tetapi Bos lebih berhak untuk menyarung Jersi Biru berdasarkan mata bonus.

Para pelumba akan meneruskan saingan pada peringkat kedua hari ini dari Serdang, Kedah ke Kuala Kangsar, Perak sejauh 117.8km.

Perlumbaan dijangka sukar kerana pelumba terpaksa melalui zon pendakian kategori dua (Cat 2) di Bukit Sumpitan, Perak (ke-49.7km) selain tiga zon pecut di Selama (10.6km), Lenggong (70.1km) dan Kati (100.4km).

BERIKUT keputusan peringkat pertama jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 dari Kangar ke Kulim, sejauh 162.7km, hari ini:

10 PELUMBA TERBAIK:  1. Theo Bos (NED) Blanco Pro Cycling Team - empat jam 17 saat 2. Bryan Coquard (FRA) Team Europcar " 3. Andrea Guardini (ITA) Astana Pro Team " 4. Steele Von Hoff (AUS) Garmin-Sharp " 5. Jacob Keough (USA) United Healthcare Pro Cycling " 6. Aldo Ino Ilesic (SLO) United Healthcare Pro Cycling " 7. Anuar Manan (MAS) Synergy-Baku Cycling Project " 8. Francessco Chicchi (ITA) Vini Fantini-Selle Italia " 9. Hossein Nateghi (IRI) Tabriz Petrochemical Team " 10. Mauro Abel Richeze (ARG) Team Nippo - De Rosa "

TIGA PELUMBA TERBAIK KESELURUHAN (JERSI KUNING): 1. Theo Bos (NED) Blanco Pro Cycling Team - 4'00:07s 2. Wang Meiyin (CHN) Hengxiang Cycling Team - 4'00:08s 3. Bryan Coquard (FRA) Team Europcar - 4'00:11s

TIGA PELUMBA TERBAIK ASIA KESELURUHAN (JERSI PUTIH):  1. Wang Meiyin (CHN) Hengxiang Cycling Team - 4'00:08s 2. Ho Jun Rong (SIN) OCBC Singapore - :05s 3. Anuar Manan (MAS) Synergy-Baku Cycling Project - :09s

RAJA PECUT (JERSI BIRU): 1. Theo Bos (NED) Blanco Pro Cycling Team - 15 mata 2. Wang Meiyin (CHN) Hengxiang Cycling - 15 3. Bryan Coquard (FRA) Team Europcar - 14

RAJA BUKIT (JERSI MERAH):  1. Wang Meiyin (CHN) Hengxiang Cycling - 4 mata 2. Ho Jun Rong (SIN) OCBC Singapore - 2 3. Shinichi Fukushima (JPN) Team Nippo-De Rosa - 1

 PASUKAN TERBAIK KESELURUHAN: 1. United Healthcare Pro Cycling - 12'00:51s 2. Astana Pro Team - 12'00:51s 3. Synergy-Baku Cycling Project - 12'00:51s

PASUKAN TERBAIK ASIA : 1. KSPO - 12'00:51s 2. Aisan Racing Team - 12'00:51s 3. Tabriz Petrochemical Team - 12'00:51s

No comments:

Post a Comment