Saturday, February 2, 2013

LTdL 2013 - TSG Sandar Harapan Kepada Pelumba Tempatan

Zamri (kanan) jadi taruhan TSG.
Terengganu menaruh harapan tinggi kepada Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) untuk melakar sejarah menjuarai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang menyaksikan pasukan profesional itu buat julung kali mempertaruhkan sepenuhnya pelumba tempatan menggalas cabaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata walaupun tanpa kelibat pelumba import dari Korea dan Jepun seperti sebelumnya, pihaknya yakin TSG mampu memberi saingan hebat kepada pasukan antarabangsa lain dalam perlumbaan yang bermula 24 Februari hingga 2 Mac ini.

Katanya, dengan barisan pelumba hebat termasuk gandingan dua beradik Mohamed Harrif Salleh, 24, dan Mohamed Zamri, 29, serta Mohd Nor Umardi Rosdi, 26, yang berpengalaman dalam perlumbaan antarabangsa, TSG mampu mencapai kejuaraan.

“Kali ini, tidak ada lagi dari Korea dan Jepun. Semua dari Terengganu dan kita harap mereka dapat memberikan prestasi yang baik berdasarkan pengalaman sejak dua tahun lalu menyertai perlumbaan ini.

“Ini peluang mereka membuktikan keupayaan, sekali gus memburu kejuaraan, apa lagi di peringkat UCI Asia, Terengganu kini berada di kedudukan pertama,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan Kejohanan LTdL 2013 di Kuala Terengganu, Rabu.

Pada majlis itu, kerajaan negeri menyerahkan tajaan RM2 juta untuk jersi kuning edisi ke-18 LTdL 2013, meningkat berbanding RM1 juta tahun lalu dan ia adalah penajaan terbesar dalam penganjuran LTdL 2013.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Operasi LTdL 2013, Emir Abdul Jalal; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Datuk Ahmad Sidi Ismail.

 Pelumba lain yang menyarung jersi TSG untuk LTdL 2013 ialah Faiz Syarifuddin Abd Kadir, 23; Mohd Shahrul Mat Amin, 23; Mohamed Saufi Mat Senan, 22, dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, 21, dan Anwar Azis Muhd Shaiful, 26.

No comments:

Post a Comment