Thursday, February 21, 2013
MB - Hentikan Fitnah Pembangunan Semula Pasar Payang Untuk Raih Undi
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta pembangkang menghentikan fitnah berkaitan pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang dan tidak mempolitikkan isu itu untuk meraih sokongan rakyat.
Beliau menegaskan kerajaan negeri merancang pembangunan semula pasar itu setelah ia disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (bahagian Forensik) berikutan kerosakan struktur rasuk di bawah pasar itu yang menempatkan jualan barangan basah seperti sayur, ikan dan daging.
"Bagaimana pembangkang sanggup menghasut peniaga-peniaga di situ untuk terus mempertahankan pasar itu sedangkan mereka tahu keadaan pasar yang berbahaya dan tidak selamat diduduki.
"Ini hanyalah usaha mereka untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional, terutama menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi, tambahan pula mereka ketandusan isu pada masa ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Terengganu di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Iman di semalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Azlan Dagang yang turut memberi penerangan terperinci mengenai projek pembangunan yang dirancang kepada peniaga di Pasar Payang.
Ahmad Said berkata peniaga perlu berfikiran terbuka dan berani menerima pembaharuan selaras dengan hasrat Terengganu untuk terus maju dan terkenal sebagai destinasi pelancongan.
"Semua peniaga sekarang akan dikekalkan, tanpa sebarang perubahan ketara, hanya usaha menaik taraf pasar kepada keadaan yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan moden dan canggih.
"Reka bentuk kedai juga akan diperbesarkan, laluan pengunjung yang lebih luas, berhawa dingin serta kemudahan tangga bergerak (eskalator) untuk kemudahan pengunjung," katanya mengenai pembangunan semula Pasar Payang yang kini menempatkan kira-kira 1,000 peniaga.
Projek bernilai RM400 juta itu dijangka bermula pertengahan tahun ini dan bakal dilengkapi sebuah hotel 23 tingkat dan pangsapuri 30 tingkat dengan 500 lot parkir.
Sementara itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Kuala Terengganu hari ini menyatakan sokongan terhadap pembangunan semula pasar itu dan sedia memberi kerjasama bagi memastikan projek itu berjalan lancar.
Pengerusinya Ibrahim Mohamad berkata bantahan timbul sebelum ini apabila mereka dimaklumkan peniaga barangan basah akan dipindahkan secara kekal ke Pasar Chabang Tiga manakala peniaga barangan kering akan dipindahkan ke pasar baru.
"Saya mewakili kesemua 1,000 peniaga di Pasar Payang berpuas hati dan bersyukur dengan penerangan yang diberi oleh Menteri Besar kerana hari ini kami dapat melontarkan segala permasalahan dan dijawab sendiri oleh beliau," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Menteri Besar.
Bendahari persatuan Zaki Abdul Hamid mengakui Pasar Payang tidak selamat untuk pengunjung dan peniaga kerana banyak kebocoran berlaku pasar itu.
"Ini menyebabkan peniaga mengalami kerugian kerana barang mereka rosak terkena air hujan dan pada musim tengkujuh, kami dapat rasakan pasar seperti bergoyang kesan daripada pukulan ombak yang kuat," katanya.
Sepanjang proses pembinaan semula itu, peniaga akan dipindahkan ke tapak pasar sementara di Pulau Warisan (bersebelahan Pasar Payang) yang akan dibina dengan kos RM8 juta.
No comments:
Post a Comment