Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM28 juta sebagai sumbangan one-off iaitu sekali sahaja bagi membantu golongan peladang dan penternak di negara ini.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri sempena perasmian Menara LPP dan sambutan 40 tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, hari ini.
Peruntukan itu merupakan respons segera Najib sebagai memenuhi permintaan warga peladang dan penternak yang sebelum ini disifatkan 'tertinggal' berbanding warga petani dan nelayan yang menerima imbuhan seperti yang diumumkan oleh kerajaan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian bantuan kepada golongan nelayan termasuk bantuan sara hidup RM200 sebulan yang memanfaatkan 55,000 nelayan berdaftar.
Bagi membantu para petani pula, kerajaan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion, selain buat julung kalinya, memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi.
Perkara itu disuarakan Pengerusi LPP Datuk Zainal Dahalan dalam ucapannya yang meminta insentif turut diberikan kepada golongan peladang dan penternak yang berjumlah 800,000 orang di seluruh negara.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
No comments:
Post a Comment