Monday, February 25, 2013

Dua Buruh Ditahan Berhubung Kes Serang Pemuda Di Marang

Polis hari ini menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes menyerang seorang pemuda sehingga menyebabkan kecederaan di Kampung Bukit Cherana, Marang pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 22 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di Kampung Bukit Cherana pada kira-kira 1.15 pagi dan 2.30 pagi ini.

Katanya polis turut menemui kunci tambahan kereta yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa di rumah seorang daripada suspek dan menurutnya kedua-dua suspek bekerja sebagai buruh.

"Siasatan awal kita dapati kes berkenaan berpunca cemburu kerana mangsa berjumpa teman wanita suspek pada tengah malam di kawasan kampung berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu,  hari ini.

Dalam kejadian pada Khamis lepas itu, mangsa berusia 20-an yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan. Manoharan berkata kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment