Sunday, February 17, 2013

PAS Keluar Pakatan Pembangkang Jika Merugikan Melayu, Islam?


PAS semalam mengulangi pendirian tegas bahawa kerjasama parti itu dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR tidak merugikan orang Melayu dan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam pakatan seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.
Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, PAS tidak ragu-ragu untuk keluar dari pakatan berkenaan.

“PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi.

Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama pakatan berkenaan. “Apabila DAP, orang bukan Islam dalam pakatan pembangkang menerima Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak agama lain diberi (kebebasan) hak dengan adil.

Hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan hak kaum lain (diberi) adil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa ibunda diberi (kepada semua kaum). Raja mengikut Perlembagaan. Semua parti Pakatan Rakyat menerima perjanjian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU7.0) di Kampung Banggol Peradong, Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus, semalam.

No comments:

Post a Comment