Wednesday, February 13, 2013

Penduduk Kuala Jeneris Diminta Jangan Mudah Jual Tanah


Komuniti setempat yang mempunyai tanah diingatkan tidak mudah menjual aset tersebut, sebaliknya memanfaatkannya bagi menambah pendapatan seiring pembangunan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai.

Ketua Umno Cawangan Kuala Jeneris, Awang Pipir berkata, Lebuh raya Gemuruh-Kuala Jeneris yang bakal dibina memberikan bonus kepada penduduk untuk merancakkan lagi sosioekonomi.

“Kampung Kuala Jeneris cukup bertuah kerana terletak di simpang menghala ke Tasik Kenyir. Komuniti setempat pasti terkena tempias pembangunan dilaksanakan kerajaan di pulau buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini.

“Pembangunan ini bakal memberi banyak peluang pekerjaan, selain rancakkan lagi sosioekonomi kerana pelancong ramai ke Tasik Kenyir iaitu pulau bebas cukai bila ia beroperasi nanti," katanya.

Di sebalik kemajuan ini, beliau berharap, penduduk menggunakan tanah milik mereka sebagai cabang menjana pendapatan seperti dijadikan tapak perniagaan.

“Kini terdapat beberapa penduduk yang kembali mengusahakan kebun mereka. Pengguna Lebuh raya Gemuruh-Kuala Jeneris akan ‘disajikan’ pemandangan hasil tanaman para petani di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

 Dalam perkembangan lain, Awang berharap kampus Politeknik Hulu Terengganu dapat dibangunkan di kawasan berkenaan, walau sehingga kini masih tiada kata putus mengenai lokasi sebenar institusi pengajian itu akan dibina.

“Upacara pecah tanah telah dilakukan di sini beberapa tahun lalu. Sebagai tuan rumah, pastinya kita menaruh harapan agar pembinaannya kelak tetap dilaksanakan di kawasan sini bukannya berpindah ke tempat lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program sukaneka dan jasamu dikenang anjuran Umno Cawangan Kuala Jeneris dengan kerjasama Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Cawangan Kuala Jeneris serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Jeneris.

Program bertujuan mengeratkan silaturahim penduduk itu dimeriahkan dengan hampir 20 aktiviti sukaneka melibatkan pelbagai peringkat umur. Majlis perasmian penutup disempurnakan Adun Telemong, Rozi Mamat.

No comments:

Post a Comment