Thursday, February 28, 2013

Pewartaan Taman Laut Mampu Tarik Pelancong, Jana Ekonomi Negara

 

Pewartaan Taman Laut di perairan Malaysia sebagai kawasan perlindungan marin mampu meningkatkan industri eko-pelancongan mapan sekali gus menjana ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata ini terbukti daripada kajian beberapa universiti tempatan ke atas beberapa kawasan perairan yang diwartakan sebagai Taman Laut yang melindungi hidupan marin dan tumbuhan laut di Malaysia.

"Taman Laut menerima kunjungan hampir 500,000 pelancong setiap tahun. Melalui kajian sektor pelancongan di Pulau Redang, Terengganu oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2003, jumlah pendapatan yang dijana ialah sebanyak RM10.1 juta setahun

 "Kajian oleh Universiti Utara Malaysia di Pulau Payar, Kedah pada tahun 2011 mendapati sebanyak RM480,000 setahun telah disumbangkan dalam sektor pelancongan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) bersama media di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Alam Sekitar Dr Che Ab. Rahim Nik dan Ketua Pengarah JTLM Dr Sukarno Wagiman.

Dr Sukarno berkata sebanyak 42 perairan diwartakan sebagai Taman Laut di Malaysia sebagai tempat perlindungan marin setakat tahun ini. Katanya kawasan yang diwartakan itu meliputi 13 perairan di Terengganu, 13 di Johor, sembilan di Pahang, empat di Kedah dan tiga lagi di Labuan.

"Pihak kami dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang berusaha mengenal pasti bilangan kawasan perairan di Malaysia untuk diiktiraf sebagai Taman Laut bagi mencapai 10 peratus kawasan yang mendapat perlindungan marin serta kawasan larangan menangkap ikan.

"Jika meliputi dua buah pulau di Sarawak sebagai Kawasan Larangan Perikanan dan 11 buah pulau di Sabah sebagai Taman Negeri, hanya 1.1 peratus sahaja kawasan perlindungan marin yang terdapat di Malaysia dan kami sedang berusaha untuk mencapai target 10 peratus itu," katanya.

No comments:

Post a Comment