Friday, February 22, 2013

PM Temui Rakyat Terengganu Sempena PJJD Esok


Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menemui orang ramai di dua kawasan tumpuan awam, iaitu Pasar Besar Kedai Payang dan Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebaik tiba di bandar ini, kira-kira jam 9 pagi sempena Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD), esok.

Sejurus `walkabout’ dan menikmati sarapan pagi di Perhentian Bas MBKT, beliau bersama isteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dengan diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan ke tapak PJJD, di Dataran Syahbandar.

Turut sama dalam program itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Karnival yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 10 pagi bakal dilancarkan Perdana Menteri kira-kira 30 minit kemudian.

Selepas pelancaran, Najib bersama rombongan dijangka melawat tapak pameran sebelum berakhir dengan jamuan makan bersama rakyat, kira-kira jam 12 tengah hari.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri akan menghadiri majlis perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno dan Komponen Barisan Nasional bertempat di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, kira-kira jam 2.30 petang.

Pertemuan bersama pemimpin dan ahli parti berakhir dengan jamuan petang kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, Datin Paduka Seri Rosmah pula dijangka melawat Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Kuala Nerus, kira-kira jam 2.30 petang.

Selain itu, pelbagai program dan acara menarik bakal disajikan kepada pengunjung sempena PJJD  termasukpelbagai inisiatif 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia.

Pada masa yang sama, karnival turut memberi peluang orang ramai menyemak status cukai pendapatan, daftar mengundi, saman trafik dan pertukaran alamat pada MyKad.

Selain kemudahan pemeriksaan kesihatan secara percuma, pengunjung juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan seperti senamrobik yang bermula jam 8 pagi, selain acara bola sepak jalanan dan bola keranjang 3 lawan 3.

PJJD juga menjadi platform untuk golongan muda yang belum memiliki pekerjaan atau mahu menukar kerjaya kerana Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu 2013 menawarkan hampir 3,000 pekerjaan sepanjang dua hari, bermula 22 Februari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Sebanyak 80 majikan daripada pelbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan seluruh Malaysia akan berkampung di karnival itu bagi menawarkan peluang kerjaya, selain perkhidmatan latihan serta kemudahan pinjaman menerusi agensi kerajaan dan perbankan berkaitan.

Bukan sahaja dapat bejumpa personaliti Media Prima seperti TV3, TV9, 8TV dan ntv7 PJJD yang menyediakan pelbagai booth dan gerai jualan juga akan melabuh tirai dengan persembahan artis popular tanah air seperti Tomok, Shiha, candy & Azlan Typewriter bermula jam 9 malam esok.

Teganukita

No comments:

Post a Comment