Saturday, February 9, 2013

Program Tranformasi PM Pikat 80 Penyokong PAS Marang Sertai Umno


Seramai 80 penyokong Pas dari Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Chempedak, Marang, keluar dari parti itu dan memohon untuk menyertai Umno kerana kecewa dengan tindakan pemimpin Pas yang gagal membela nasib penduduk di negeri ini.

Ramli Abdullah, 53, mewakili 80 bekas penyokong PAS itu, berkata mereka menyertai Umno kerana tertarik dengan program transformasi yang dirancang kerajaan bagi membantu rakyat terutama golongan miskin serta penduduk kampung.


Katanya program transformasi yang diwujudkan kerajaan benar-benar bertujuan membantu semua golongan terutama rakyat berpendapatan rendah selain memberi tumpuan kepada kemajuan negara.

"Kami selama lebih 30 tahun menjadi pengikut PAS, tidak ada apa-apa pembangunan yang disediakan di kampung kami, malah keadaan kami semakin terpencil dan terasing," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada majlis Selamat Tinggal PAS, BN Di Hatiku, di kediamannya, Seri Iman, di Kuala Terengganu, Selasa  (12 Februari) lalu.

Pada majlis itu, 80 pengikut dan penyokong setia PAS dari kedua-dua kampung berkenaan berikrar memberi sokongan penuh kepada Umno serta menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Seorang lagi bekas penyokong PAS Mohd Zulfadli Zakaria, 28, dari Kampung Bukit Cempedak, berkata beliau sedih kerana selama menjadi pengikut setia PAS, tiada apa yang disumbangkan parti pembangkang itu bagi kemajuan kampungnya.

"Mereka (PAS) tidak menghirau langsung penduduk Kampung Bukit Cempedak. Remaja dan belia di kampung kami terumbang-ambing tidak ada bimbingan, tidak ada program yang dirangka bagi kemajuan kami.

"Kami berharap setelah menyertai Umno, kami akan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi kemajuan kampung kami setanding dengan kampung lain," katanya yang mewakili orang muda kampung berkenaan.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, ketika berucap pada majlis itu, berkata perjuangan Pas kini semakin tidak relevan kerana sanggup bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi kepentingan politik mereka.


"Perjuangan Pas kini jauh terpesong dan bertentangan dengan maksud PAS iaitu ‘Parti Islam Semalaysia’ kerana mereka sanggup menggadaikan kesucian agama Islam untuk kepentingan peribadi semata-mata.

"Pas juga menuduh Umno dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan undang-undang penjajah sedangkan kita juga belajar agama seperti mereka, justeru sekiranya mereka betul-betul memperjuangkan agama Islam tidak sepatutnya mereka menuduh sebegitu” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, semakin banyak jasa Umno dan BN yang ditabur kepada rakyat semakin banyak tentangan daripada pihak pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kerajaan. 

 "Ini jelas menunjukkan sifat sebenar mereka yang iri hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, justeru saya berharap penyokong Pas sedar akan hal ini dan lebih ramai yang akan menyertai Umno dan BN kelak,” katanya. 

Menteri Besar berkata,  sehingga ini kerajaan telah membina 300 unit rumah mampu milik di Bukit Gasing dan 500 unit lagi di Bukit Payong dalam daerah Marang.

"Jika Barisan Nasional memenangi empat kerusi DUN serta Parlimen Marang, kerajaan akan membina 1,000 unit lagi rumah selain sebuah Sekolah Agama Imtiaz yang menelan belanja antara RM50 juta ke RM60 juta di daerah itu," katanya.


Sementara itu, Ketua Cawangan Umno Kampung Jerong Seberang, Nasir Mamat berkata, tercetusnya program (STP) BN Di Hatiku adalah atas kesedaran bekas penyokong Pas di dua kampung terbabit untuk mengembalikan parlimen Marang ke tangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kecenderungan bekas-bekas penyokong Pas tersebut untuk menyokong Umno dan BN timbul apabila melihat kepimpinan Menteri Besar yang sentiasa mengutamakan rakyat,” katanya

Parlimen Marang dan dua DUN di bawahnya iaitu Rhu Rendang dan Bukit Payong dikuasai PAS manakala DUN Alor Limbat serta Pengkalan Berangan pula dipegang BN

No comments:

Post a Comment