Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) telah mewujudkan Koperasi PVTTB dan akan digerakkan secara lebih aktif tahun ini.
Yang Dipertua PVTTB, Encik Alias Abdul Razak berkata, setakat ini keahlian persatuan hampir 2,000 orang dan berharap mereka dapat menyertai koperasi yang diwujudkan khusus untuk kepentingan masa depan mereka.
“Daripada jumlah berkenaan hanya separuh yang menyertai koperasi dan berharap lebih ramai berbuat demikian,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, perancangan hala tuju koperasi adalah untuk mencari aset kekal yang dapat memberi pulangan kepada ahli-ahli dalam tempoh jangka masa panjang.
“Kita masih dalam peringkat perbincangan bentuk projek yang akan kita masuk nanti yang pasti akan memberi manfaat kepada ahli,” katanya.
Selain itu, pihak persatuan juga sedang mengesan pesara tentera yang uzur , mengidap penyakit kronik dan sebagainya untuk dibantu melalui dana kerajaan negeri.
Katanya, angka yang ada bukan jumlah sebenar kerana masih ramai pesara yang belum berdaftar sebagai ahli dan meminta rakan-rakan dan jiran berilah kerjasama mengesan atau memaklumkan kepada persatuan.
“Saya akui memang sukar mengesan di mana mereka berada tanpa kerjasama rakan-rakan seperjuangan serta orang ramai kerana ada yang telah bersara sejak 10 tahun lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment