Saturday, February 9, 2013

RM1.2 Juta Untuk Pasukan Hoki Terengganu

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta untuk membentuk pasukan hoki negeri bagi menyertai kejohanan Liga Hoki Malaysia yang dijangka bermula April depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peruntukan yang disediakan itu adalah untuk membayar gaji pemain dan jurulatih dari luar negara.


Beliau berkata, Terengganu mempunyai ramai pemain berbakat dan sebahagian besar terlibat dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma), selain turut mengimport pemain luar.

Katanya, dengan terbentuknya pasukan hoki itu Terengganu akan menjadi negeri pertama yang menubuhkan pasukan hoki negeri. "Kita akan menyertai kejohanan liga hoki kebangsaan dan mampu bersaing dengan pasukan hoki lain yang terkenal seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank.

"Pada masa ini, kerajaan negeri sedang mengenal pasti pemain untuk diserapkan dalam pasukan negeri, selain pemain import," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Rumah Pangsa Mampu Milik di Kampung Batin di Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Menteri Besar berkata, peruntukan yang disediakan itu telah diluluskan dalam mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri Rabu lalu.

Katanya, selain peruntukan yang disediakan kerajaan negeri, sumbangan penaja juga akan dimohon bagi membentuk pasukan hoki negeri yang mantap.

Menurut beliau, Terengganu terus memperlihatkan satu kuasa sukan yang baharu iaitu mengeluarkan atlet sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. "Sudah tiba masanya bagi Terengganu mempunyai pasukan hoki sendiri memandangkan negeri ini mempunyai ramai pemain berbakat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment