Seorang lelaki yang dipercayai anggota kumpulan samun bersenjata api ditembak mati selepas cuba menyerang polis yang ingin menahannya di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai dekat Kuala Krai, Selasa lalu.
Anggota kumpulan 'Geng Amie' itu dikesan bersembunyi di kawasan hutan berkenaan selepas dua rakannya ditembak mati oleh polis di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Ahad lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan bersama anggota balai polis Dabong yang mendapat maklumat mengenai lokasi lelaki yang diburu itu, mengepung kawasan berkenaan pada pukul 11.45 pagi.
"Seorang anggota menghampiri suspek dan suspek berusia 27 tahun dari Paka. Terengganu itu cuba menetak anggota polis itu. Untuk mempertahankan diri, anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, Selasa.
Beliau berkata polis merampas sebilah pedang, wang tunai berjumlah RM6,150 dan pil berwarna merah dipercayai pil kuda.
No comments:
Post a Comment