Mohid (enam dari kanan) bersama Kamaruddin (lima dari kanan) bergambar kenangan dengan pelumba negara selepas majlis pengumuman RTM sebagai penyiar rasmi LTdL 2013 di ibu negara semalam. |
Jika dalam edisi lepas, skuad negara mempertaruhkan rata-ratanya pelumba pecut dalam strategi pasukan, namun kali ini skuad yang dibimbing Aminudin Sulaiman itu akan menurunkan lebih ramai pakar pendakian.
Menurut Sulaiman, skuad negara mahu lebih memberi tumpuan kepada laluan berbukit, terutamanya di peringkat pendakian di Genting Hinglands yang diakui paling sukar oleh pelumba-pelumba profesional luar negara.
“Dalam skuad kali ini, kita bakal menampilkan gabungan pelumba baru dan lama, oleh itu kita lebih suka dilabel sebagai underdog (bukan pilihan),” kata Aminudin ketika ditemui pada majlis Pelantikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai Hos Penyiaran Rasmi LTdL 2013 di Kuala Lumpur semalam.
“Kita mungkin akan menurunkan lebih ramai pakar pendakian, mungkin empat pelumba (pendaki) supaya kita tidak tercicir jauh dengan pasukan lain ketika pendakian di Genting Hinglands.
“Saya tidak kata kita boleh menang, tetapi cuma hanya boleh memberi saingan dan diharap dengan menggunakan strategi ini, kita boleh memperbaiki kedudukan tahun lalu,” ujarnya.
Dalam 10 saingan perlumbaan tahun ini, hanya dua peringkat sahaja menampilkan zon pendakian yang agak mencabar iaitu peringkat tiga (Sungai Siput ke Cameron Hinghlands) dan peringkat lima (Proton ke Genting Hinglands).
Menurut Aminudin, dia masih lagi belum memutuskan siapa pelumba yang bakal menggalas cabaran skuad negara, kerana ketika ini dia lebih memberi tumpuan terhadap latihan.
“Buat masa ini, saya belum lagi memilih pelumba. Saya mungkin memerlukan masa dua atau tiga hari lagi untuk membuat keputusan,” katanya yang mengakui prestasi anak buahnya turut banyak meningkat.
Sementara itu, pada majlis semalam, beberapa pelumba yang bakal menggalas cabaran negara di LTdL 2013 kali ini turut diperkenalkan.
Antara pelumba tersebut ialah Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi (ketua pasukan), Amir Mustafa Rusli, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Muhamad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fakhrullah Alias dan Mohd. Ekbar Zaman Huri.
Dalam pada itu, RTM sebagai hos penyiar rasmi LTdL 2013 akan membuat liputan penuh selama 22 jam iaitu 12 jam untuk siaran langsung dan 10 jam bagi siaran rakaman demi memuaskan hati peminat sukan berbasikal tanah air.
“Lebih menarik lagi, kita juga telah bekerjasama dengan Eurosport bagi membolehkan LTdL kali ini disiarkan ke seluruh dunia di tiga saluran iaitu Eurosport 1, Eurosport 2 dan Eurosport Asia Pasific,” kata Ketua Pegawai Operasi LTdL 2013, Emir Abd. Jalal.
Turut hadir pada majlis semalam ialah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed serta Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhayati Ismail.
No comments:
Post a Comment