Monday, February 11, 2013

Stadium Mini, Litar Permotoran Setiap Daerah - Rozi

Setiap daerah di Terengganu bakal memiliki kemudahan stadium mini dan litar permotoran, yang akan dibina secara berperingkat mulai tahun ini.

Stadium mini pertama akan dibina atas tapak seluas lapan hektar di Kampung Paya Besar, Kuala Berang bernilai RM20 juta, dilengkapi kemudahan permainan sukan dalaman seperti futsal, skuash, bowling dan badminton selain menjadi gelanggang sukan seperti hoki, olahraga, bola sepak dan tenis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat, berkata kerja pembinaan stadium mini itu, yang bermula akhir tahun lalu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, bagi pembinaan litar permotoran pula, ia masih di peringkat mesyuarat teknikal, tetapi tapak litar pertama itu sudah dikenal pasti juga terletak di Hulu Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penutup Mini Kem SUKMA XVI di Kampung Payang Kayu, di Kuala Berang, kelmarin.

Beliau berkata, pada awalnya litar pertama dirancang dibina di Kuala Terengganu, tetapi disebabkan sukar mendapat tanah eluas 12 hektar hingga 20 hektar, projek itu dilaksanakan di Hulu Terengganu, bermula awal tahun depan.

“Kerajaan negeri akan bina stadium dan litar permotoran di setiap daerah di negeri ini dalam usaha melahirkan lebih ramai atlit dalam pelbagai acara sukan serta meningkatkan mutu atlit sedia ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment