Monday, February 11, 2013

Program Berakit DUN Hulu Besut Sempena Maulidur Rasul


Program Berakit Dun Hulu Besut sempena Maulidur Rasul julung kali diadakan mendapat sambutan hebat orang ramai.

Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, sebanyak 13 rakit mewakili 10 peti undi Dun Hulu Besut dan tiga yang lain mengambil bahagian dalam program berkenaan manakala setiap rakit dinaiki sepuluh peserta.

Menurutnya, selain merayakan bulan kelahiran Nabi Muhammad, program tersebut untuk mengembalikan semula kegemilangan Sungai Besut suatu ketika dulu menjadi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan penduduk Hulu Besut.

“Dulu sungai menjadi pergantungan utama bagi pelbagai keperluan termasuk jalan perhubungan masyarakat daripada Jertih ke Kampung La malah ke Keruak,” katanya ketika majlis perlepasan berkayak di Sungai Besut, dekat Bukit Payong.

Nawi berkata, peserta akan menamatkan ekspedisi di Kampung Darau dan mereka akan disambut dengan paluan kompang dan penyampaian hadiah manakala sebelah malam diadakan ceramah Maulidur Rasul di Masjid Gong Duek.

Menurutnya, menariknya program itu dapat memupuk perpaduan dalam kalangan peserta apabila mereka bekerjasama menyiapkan dan menghias rakit mengikuti kreativiti masing-masing.

“Penduduk kampung juga keluar beramai-ramai melihat rakit berhias itu yang digerakkan dengan menggunakan enjin galah,” katanya.

Nawi memberitahu, program ini juga membakar semangat kepada jentera parti menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan nanti.

No comments:

Post a Comment