ASM Unggul Trading, pemilik stesen minyak Petronas yang telah beroperasi sejak 22 tahun lalu, menempa sejarah sebagai stesen minyak pertama memiliki kedai buku di Malaysia.
Pengurusnya, Ahmad Shukridin Muda berkata, sebagai permulaan, ASM Book Store yang terletak di tingkat atas stesen minyak dua tingkat itu menawarkan 3,000 judul buku pelbagai genre yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.
"Kami bercadang untuk menambah 5,000 judul buku sebelum akhir tahun ini serta meningkatkan kualiti kemudahan lain seperti kafe siber, kedai runcit dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen ini.
"Pembukaan kedai buku ini memberi satu nilai tambah kepada stesen minyak ini yang juga merupakan tanggungjawab sosial kami untuk masyarakat yang banyak menyokong pertumbuhan kami," katanya pada majlis Sehari Bersama Pelanggan anjuran bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Terengganu di Marang, Februari lalu.
Pembukaan kedai buku itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahmad Shukridin berkata kedai buku itu mendapat sambutan daripada masyarakat setempat dan dengan adanya beberapa pusat pengajian tinggi di sekitar Marang, menjadikan perniagaan itu berpotensi memberi pulangan lumayan.
"Jarak Marang dengan Kuala Terengganu adalah 16 kilometer dan mengambil masa kira-kira 25 minit untuk ke kedai buku berhampiran.
"Kami berharap ASM Book Store
akan memudahkan masyarakat setempat mencari bahan bacaan dan stesen ini juga adalah sebagai pusat sehenti untuk mereka," katanya.
Sementara itu, PTS Media Group Sdn Bhd (PTS), syarikat penerbitan dan pengedaran buku bahasa Melayu terbesar di Malaysia akan terus memperluaskan pasarannya dengan meletakkan produk terbitannya di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti stesen minyak dan butik pakaian wanita sebagai transformasi dan strategi pemasaran syarikat itu.
Pengurus Jualannya Ahmad Ridza Jailani berkata syarikat tidak mahu lagi terikat dengan konsep kedai buku konvensional, sebaliknya mahu mentransformasikan pembudayaan membaca di kalangan masyarakat.
Mengenai majlis bersama pelanggan itu, pelbagai acara disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna, jualan buku serta pengagihan sumbangan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak-anak yatim dari daerah Marang.
No comments:
Post a Comment