Thursday, February 28, 2013

Tidak Sangka Banjir Awal Tahun

Peruncit ayam, Che Yunus Che Sulaiman, 57, memasukkan ayam proses ke dalam kereta sorong sebelum dihantar ke Pasar Permaisuri di Kampung Buluh Hilir, Setiu yang dinaiki banjir,semalam.
Banjir yang berlaku kali ini tidak dijangka kerana kebiasaannya ia melanda pada hujung tahun dan bukan awal tahun seperti sekarang.

Akibatnya, ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Salah seorang mangsa, Norihan Alias, 28, berkata, dia baru sahaja meletakkan semula barang-barang yang diangkut semasa banjir tahun lalu dan kini banjir datang lagi.

"Sekarang pun sudah hampir Mac dan ikut kebiasaan tidak akan berlaku banjir tetapi rupanya-rupanya kami silap," katanya yang tinggal di Kampung Buluh Hulu, Permaisuri, Setiu semalam.

Jelasnya, air naik secara mendadak dalam tempoh kira-kira sejam awal pagi kelmarin menyebabkan ibu tunggal itu hanya sempat menyelamatkan beberapa barang berharga bersama tiga anaknya yang berusia lapan hingga empat tahun.

Sementara itu, Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara memaklumkan, sehingga pukul 3.30 petang semalam, mangsa banjir di Terengganu meningkat 3,703 orang dan ditempatkan di 52 pusat pemindahan di empat daerah.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Hashim Mohd. Zain ketika dihubungi pula memberitahu, jumlah sekolah yang terpaksa ditutup meningkat kepada 27 buah berbanding sembilan buah sekolah kelmarin.

No comments:

Post a Comment