Thursday, February 28, 2013

LTdL 2013 - Andrea Guardini Terlalu Hebat Untuk Dicabar


Pelumba Itali, Andrea Guardini daripada Astana Pro Team melakar sejarah tersendiri pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Raja Pecut edisi 2011 dan 2012 itu berjaya menambah koleksi kemenangan peringkat selepas menguasai saingan hari ketujuh dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu sejauh 149.80 kilometer (km) semalam.

Untuk rekod, Guardini menjadi pelumba paling banyak memenangi peringkat pada perlumbaan paling berprestij di Asia yang memegang status Hors itu.

Setakat ini, dia sudah mencatat 12 kemenangan, masing-masing lima pada tahun 2011 dan enam pada 2012, sekali gus mengatasi rekod pelumba Australia, Graeme Brown daripada Blanco Pro Cycling Team yang melakar 10 kemenangan peringkat.

Guardini mengangkat tangan sebaik melepasi garisan penamat untuk menjuarai saingan peringkat ketujuh dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu sejauh 149.8 kilometer semalam.


Pada perlumbaan yang berakhir secara beramai-ramai semalam, pelumba kelahiran Tregnago, Itali itu mencatat masa tiga jam 37 minit 17 saat, sekali gus mengetepikan cabaran Francesco Chicchi daripada Vini Fantini-Selle Italia di tempat kedua manakala Aidis Kruopis (Orica GreenEDGE) di tempat ketiga.

Pelumba yang pernah beraksi di Giro d'Italia itu juga masih mengekalkan Jersi Biru (Raja Pecut) selepas mengumpul 72 mata, 22 mata di depan pelumba Synergy Baku Cycling Project, Anuar Manan (50 mata) dan Chicchi (47 mata).

Guardini berkata, dia berasa gembira kerana akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama bersama pasukan yang kuat dan lebih besar.

"Ia adalah kejayaan pertama saya bersama Astana. "Perlumbaan tadi (semalam) memang sukar terutama pada lima kilometer terakhir. Angin bertiup kencang dari tepi pantai ketika kami melalui laluan lurus. Saya hanya kekal di kedudukan paling kiri sambil dibantu rakan sepasukan, Assan Bazayev dan Ruslan Tleubayev.

"Saya memulakan pecutan ketika perlumbaan berbaki 200 meter. "Saya berada dalam situasi terbaik pada Tour of Qatar tetapi tidak cukup baik untuk meraih kemenangan.

Kini, situasi saya bertambah baik dan ini adalah satu permulaan yang baik. Ini adalah kemenangan yang terhebat selepas menunggu sekian lama," kata Guardini.

Dalam pada itu, Guardini berkata, cabaran sengit para pelumba daripada pasukan profesional, terutamanya pada kilometer terakhir menjadi punca barisan pelumba Malaysia gagal melakar kemenangan.

Bagaimanapun, pelumba Team Nippo-De Rosa, Julian Arredondo semakin hampir untuk muncul juara keseluruhan apabila berjaya mengekalkan Jersi Kuning (Individu Keseluruhan) selepas mengumpul masa 25'55:05s iaitu 01:15s di depan Peter Weening daripada Orica GreenEDGE (25'56:20) dan pelumba MTN Qhubeka, Sergio Pardilla (25'57:15s).

"Mudah buat saya pada perlumbaan hari ini (semalam) dan semalam (kelmarin). Pasukan kami dapat mengawal perlumbaan dan sampai ke garisan penamat seperti yang dirancang.

"Saya tidak risau mengenai Jersi Kuning. Ketika ini, pencabar saya ketinggalan jauh di belakang. Bagi saya, peringkat yang sukar adalah esok (hari ini) bagi membolehkan saya mempertahankan jersi ini.

"Dua peringkat terakhir mungkin berakhir seperti hari ini dan ia mungkin tidak mendatangkan masalah kepada saya," kata pelumba kelahiran Colombia itu.

 Sementara itu, pelumba Hengxiang Cycling Team, Wang Meiyin mengekalkan Jersi Merah (Raja Bukit) dan Jersi Putih (Terbaik Asia).

"Saya rasa hebat hari ini (semalam). Saya akan berusaha untuk mengutip mata di zon pendakian pada peringkat kesembilan. Selain bergantung kepada keadaan cuaca, saya juga menyerahkan kepada strategi pasukan untuk mempertahankan Jersi Putih.

"Saya cuma perlu mengawal jurang masa supaya tidak terlalu jauh," kata pelumba China itu.

No comments:

Post a Comment