Thursday, February 14, 2013

UniSZA Perlu RM170 Juta Untuk Asrama, Canselori

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memerlukan peruntukan kira-kira RM170 juta untuk membangunkan asrama baharu dan bangunan Canselori seiring dengan keperluan pembangunan institusi itu.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Yahya Ibrahim berkata, asrama baharu yang dianggarkan menelan kos RM150 juta tersebut akan dapat menampung kira-kira 3,000 pelajar.


''Bangunan Canselori yang berharga kira-kira RM20 juta pula dijangka dilaksanakan secepat mungkin selaras dengan pelan transformasi UniSZA," katanya.

Menurut beliau, pembangunan secara berperingkat-peringkat itu juga dalam usaha menjadikan UniSZA sebagai salah sebuah universiti terunggul selain universiti Islam ketiga di negara ini.

''Peruntukan telah dipohon melalui Kementerian Pengajian Tinggi,'' katanya.

“Kita juga sudah mengenalpasti dua kelompok bidang yang menjadi jurusan utama pengajian di UniSZA iaitu Sains Gunaan dan Sains Sosial Gunaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Lawatan dan Ucapan di universiti itu semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Noh.

Katanya, di bawah Sains Gunaan ada Pengajian Perubatan dan Sains Pertanian manakala di bawah Sains Soasial pula Pengajian Islam dan Peradaban, Pengajian Pembangunan dan Pengajian Pengurusan.

Selain itu katanya, pihaknya sedang berusaha membuat lonjakan penambahan bilangan pelajar kepada 10,000 orang dalam tempoh dua tahun akan datang. “Pada masa sekarang kita mempunyai 7,000 pelajar dengan dua buah kampus iaitu di Gong Badak dan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, UniSZA sedang menyiapkan kertas konsep untuk membuka kampus cawangannya di Kuala Lumpur untuk memberi peluang mereka yang berada disekitar ibu negara menyambung pengajian di UniSZA.

No comments:

Post a Comment