Monday, March 4, 2013
170 Pekebun Dapat Surat Lulus Tanam Semula
Sebanyak 170 pekebun kecil getah di daerah ini mendapat surat kelulusan tanam semula yang membolehkan mereka menerima bantuan sebanyak RM9,230 seorang bagi setiap hektar.
Surat kelulusan itu yang melibatkan penyaluran bantuan keseluruhan berjumlah RM1.94 juta disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Abdul Halim Jusoh di Setiu, semalam.
Ketika berucap di majlis itu, Abdul Halim berkata, para pekebun perlulah memberi perhatian terhadap tanaman mereka dengan mematuhi setiap arahan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) supaya mendapat hasil lumayan secara berpanjangan.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi pelbagai bantuan serta khidmat nasihat mengenai tanaman getah supaya pendapatan pekebun lebih terjamin dan mereka tidak seharusnya terus berada dalam kelompok golongan miskin.
"Bagi saya, jika mereka tidak menyahut saranan dan kehendak, mereka hanya merugikan diri sendiri dan keluarga," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah RISDA negeri, Zakaria Mat Zin berkata, kira-kira 26,000 pekebun kecil getah di negeri ini yang mengusahakan tanaman seluas 48,000 hektar secara purata mampu memperoleh lebih RM2,000 sebulan jika mereka melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP).
"Setiap peserta memiliki kebun seluas antara 1.5 hektar hingga dua hektar seorang dan setiap satu hektar kebun mampu mengeluarkan hasilnya sekurang-kurangnya 2,000 kilogram jika diurus dengan baik.
"Namun, pendapatan mereka tidak menentu tanpa komitmen terhadap tanaman mereka serta tidak mengamalkan sistem tanaman mereka dengan GAP dan penggunaan bahan rangsangan yang digalakkan oleh pihak kerajaan,"
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment