Monday, March 4, 2013

Program Minggu Permotoran Jadi Acara Teras


Program Minggu Permotoran Terengganu yang menarik tumpuan para peminat motosikal dari dalam dan luar negara akan dijadikan sebagai salah satu acara teras dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebagai tuan rumah program tahunan itu kerajaan negeri bersedia untuk menimbang sebarang bentuk bantuan termasuk penajaan bagi memeriahkan penganjurannya kelak.


"Saya menyambut baik dan mengalu-alukan kedatangan para penunggang yang menyertai program anjuran Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) ini, apatah lagi acara itu dilaksanakan pada Tahun Melawat Terengganu 2013.

"Terengganu ternyata amat menarik perhatian mereka sebab itu saya memutuskan Minggu Permotoran Terengganu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara penutup program itu di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Yang hadir sama, Presiden Persatuan Permotoran Terengganu, Tengku Seri Temenggong Raja dan kira-kira 2,000 ahli persatuan permotoran seluruh negara di samping dari Singapura dan Thailand.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas cadangan Tengku Seri Temenggong Raja supaya kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap program itu sebagai salah satu pendekatan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Dalam program yang bermula kelmarin, pelbagai acara diadakan termasuk pertandingan motosikal cantik, konvoi bertemu anak yatim di Batu Rakit serta konvoi muhibah yang menjelajah dari Pantai Batu Buruk ke Pantai Rhu Sepuluh, Penarik dan beberapa lokasi lain.

Sementara itu, Tengku Seri Temenggong Raja berkata, kehadiran begitu ramai penunggang dari seluruh negara mampu mempromosikan Terengganu secara lebih dekat selaras dengan slogan 'Negeri Cantik, Budaya Menarik dan Orangnya Baik-Baik'.

"Sempena program ini juga saya menyeru semua peserta mengambil peluang untuk mengenali Terengganu dengan lebih dekat bukan sahaja budayanya tetapi produk negeri ini seperti keropok lekor, batik, tembaga, songket dan pelbagai lagi.

"Secara kebetulan, program ini bertindih dengan Le Tour de Langkawi dan ini memeriahkan lagi suasana di sini," katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Tengku Seri Temenggong Raja berkata, selaku tuan rumah, PPT juga membawa semua peserta permotoran kali ini melawat mana-mana destinasi yang dihajati bagi memastikan percutian ke negeri ini memberi pengalaman yang indah dan menyeronokkan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment