Wednesday, March 20, 2013

20,000 Murid Tahun 4 Di Terengganu Bakal Terima E-Book

 

Kira-kira 20,000 murid Tahun 4 di seluruh Terengganu akan memerima seunit E-Book pada tahun ini yang diagihkan secara berperingkat mulai semalam.

E-Book sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran itu mula diberi sejak tahun 2009 bertujuan memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sejak diperkenalkan lima tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM114 juta bagi memastikan proses pembelajaran menggunakan E-Book berjalan lancar.

"Bermula tahun ini juga, kita akan mengagihkan komputer riba kepada 4,000 guru yang mengajar murid Tahun 4 supaya melancarkan lagi proses pembelajaran dua hala antara guru dan murid di dalam kelas.

"Sebelum ini, kita hanya beri kepada guru murid Tahun 5 dan 6 sahaja, namun guru Tahun 4 juga akan menikmati kemudahan sama kerana penggunaan komputer riba itu lebih sesuai untuk mengajar murid yang dibekalkan E-Book," katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program pengagihan E-Book kepada 7,546 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri turut menempatkan 456 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di setiap sekolah seluruh Terengganu untuk tujuan membaiki dan menyelenggara kerosakan E-Book.

 Ahmad Said  berkata walaupun pendapatan yang diperoleh Terengganu bukanlah yang tertinggi dalam negara, namun peruntukan untuk sektor pendidikan sebanyak RM340 juta setiap tahun membuktikan keprihatinan barisan kepimpinannya dalam melahirkan generasi muda yang berilmu untuk menjadi aset bangsa dan negara.

"Selain E-Book, banyak bantuan dan program khas diadakan untuk memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai sedikit masa lagi. "Justeru, saya sangat berharap agar ibu bapa dapat memantau dan membimbing anak mereka supaya menggunakan E-Book untuk tujuan akademik sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment