Wednesday, March 6, 2013
500 Penduduk Marang Solat Hajat Doa Krisis Lahad Datu Selesai
Di Marang, seramai 500 penduduk daerah itu mengadakan solat hajat untuk memohon keselamatan anggota yang bertugas di kawasan operasi berkenaan dan memohon keamanan di Sabah dapat dipulihkan seperti biasa.
Majlis anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang yang diadakan di Masjid Binjai Rendah itu dimulakan dengan solat Zohor berjemaah, solat Hajat dan bacaan Yasin dan tahlil untuk perwira negara yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Tanduo dan Semporna.
Ketua Wanita Umno Bahagian Marang Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin ketika ditemui Bernama berkata pihaknya berharap pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu adalah yang pertama dan terakhir di negara ini.
"Petang semalam, Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah mengarahkan semua Ketua Wanita Umno Bahagian di seluruh negara mengadakan solat jahat secara serentak selepas solat Zohor untuk mendoakan keselamatan pihak berkuasa di Sabah.
"Selama ini rakyat Malaysia hidup aman damai, dan secara tiba-tiba berlaku satu insiden yang menggemparkan negara, namun kita semua perlu terus berdoa agar Malaysia terus aman sebagai negara yang berdaulat," katanya.
Sementara itu, beberapa jemaah masjid yang ditemui Bernama selepas solat hajat itu turut berharap agar umat Islam di negara ini bersatu hati dan terus melakukan solat hajat sehingga isu pencerobohan itu selesai.
Pegawai Agama Daerah Marang Zahari Sulong berkata solat hajat adalah sebagai usaha terakhir umat Islam untuk memohon pertolongan Allah setelah segala usaha rundingan dan operasi ketenteraan dijalankan.
"Kita berdoa dan sama-sama terus melakukan solat hajat sama ada secara berjemaah atau bersendirian di rumah sehingga isu ini tamat," katanya.
No comments:
Post a Comment