Wednesday, March 6, 2013

Delegasi UniSZA Ke Gaza Dan Mesir Untuk Kerjasama Akademik

Lima anggota delegasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu akan ke Mesir dan Gaza, Palestin esok dalam misi kerjasama akademik dengan dua buah universiti.

Naib Canselor Unisza Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata lawatan itu lanjutan daripada kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selain untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) mengenai pertukaran pelajar dengan Al-Aqsa University dan Islamic University of Gaza.

Beliau akan mengetuai delegasi itu dan anggota lain ialah Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Prof Dr Nordin Simbak, Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr Abdul Hakim Abdullah, Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Dr Mohd Afandi Salleh dan Penolong Pendaftar Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Rusdi Muda.

Dr Yahaya berkata delegasi akademik itu akan turut membincangkan pengambilan petugas akademik dan kerjasama dari segi seminar serta penerbitan akademik dengan pihak yang berkenaan.

"Delegasi ini juga akan turut berkunjung ke Universiti Iskandariah, Universiti Monsoura dan Universiti Al-Azhar di Mesir," katanya pada sidang media di Kuala Terengganuu, hari ini.

UnisZa akan turut menerima 10 orang pelajar dari Palestin untuk menyambung pelajaran di universiti itu.

Dalam pada itu Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) menyumbang RM1,602 untuk tabung derma Gaza UniSZA hari ini. Sumbangan itu disampaikan Presiden Kawat Ayob Mamat kepada Dr Yahaya.

Tabung derma Gaza itu dilancarkan UniSZA sebulan yang lalu.

No comments:

Post a Comment