Saturday, March 2, 2013

ACC Pemanas Badan Untuk Azizulhasni, Fatehah

Jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley (tengah) diapit Azizulhasni dan Fatehah bersama replika cek dana Yayasan Sime Darby.
Biarpun tidak meletak sebarang sasaran dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, Mac nanti, pelumba basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tekad untuk melakukan yang terbaik.

Bakal berangkat ke India Ahad ini, Azizulhasni berkata, kejohanan tersebut bakal dijadikan medan pemanas badan buatnya sebelum beraksi di Piala Dunia 2014 nanti.

“Sistem sudah berubah, kami perlu mengumpul mata dalam Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Grand Prix untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.

“Jadi perlumbaan di India tetap penting bagi mengembalikan semula momentum kayuhan memandangkan saya hanya sempat menjalani latihan lebih kurang sebulan sahaja ketika pulang dari Melbourne,” katanya selepas Majlis Penyerahan Dana Yayasan Sime Darby kepada skuad berbasikal negara, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada majlis itu, skuad berbasikal menerima tajaan bernilai RM2.85 juta daripada Yayasan Sime Darby. Azizulhasni yang lebih dikenali dengan gelaran The Pocketrocketman bersama ratu pecut negara, Fatehah Mustapa bakal menyertai 42 kejohanan bermula Februari 2013 sehingga Ogos 2016.

Tajaan yang meliputi keseluruhan kos termasuk yuran kejohanan, perbelanjaan perjalanan pasukan, kelengkapan pelumba dan elaun itu merupakan persiapan bagi program Road to Rio Olimpik buat kedua-dua atlet yang pernah mewakili negara dalam acara berbasikal di Olimpik London 2012.

Yakin Azizulhasni dan Fatehah mampu merealisasikan impian emas buat Malaysia di Rio nanti, Pengerusi Sime Darby Berhad dan Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata: “Jumlah tajaan tahun ini meningkat berbanding tahun lalu kerana kami percaya mereka komited dengan tanggungjawab yang diberikan."

No comments:

Post a Comment