Saturday, March 2, 2013
LTdL 2013 - Anuar Fokus Peringkat Terakhir Esok Cari Kemenangan
Jaguh pecut berbasikal lebuh raya negara, Anuar Manan kecewa kerana masih gagal meraih kemenangan peringkat atau podium dalam perlumbaan jelajah berbasikal terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL).
"Hari ini saya kecewa lagi sebab tidak dapat kemenangan podium. Saya rasa agak letih juga semasa hendak menghampiri garisan penamat.
"Kira-kira satu kilometer sebelum penamat, beberapa pelumba berlanggar. Saya tersangkut sikit tetapi nasib baik kayuhan saya tidak berhenti dan terus berkayuh," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu.
Menurut pelumba berusia 27 tahun itu beliau kini hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja pada peringkat terakhir esok.
"Untuk mencari mata dalam kategori pecutan, saya sudah tidak boleh menandingi (Andrea) Guardini untuk mendapatkan jersi biru. Francesco Chicchi pun sudah menambah mata untuk berada di tempat kedua.
"Saya akan sedaya upaya berusaha mempertahankan kedudukan tempat ketiga dalam kedudukan itu (Raja Pecut)," katanya.
Selepas sembilan peringkat, Anuar berada di kedudukan ketiga kategori pecut dengan mengumpul 66 mata, sementara Guardini dan Chicchi masing-masing mengumpul 86 dan 81 mata.
Menurut Anuar, beliau merasa agak penat untuk mendapatkan mata tambahan di tiga zon pecutan yang terletak di Jerteh, Permaisuri dan Sungai Tong.
Pelumba pasukan Synergy-Baku Cycling Project itu menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik saingan peringkat kesembilan dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu sejauh 123.60km.
Beliau menamatkan saingan di tempat ketujuh, di belakang pelumba muda dari Perancis, Bryan Coquard daripada pasukan Europcar.
Sementara itu, Mohamed Adiq Hussainie Othman, yang mewakili pasukan Champion System, kekal sebagai pelumba terbaik Malaysia keseluruhan selepas mengumpul 32'26:12s selepas sembilan peringkat.
Semalam, pelumba berusia 21 tahun itu memperbaiki kedudukannya dengan naik satu anak tangga untuk berada di tempat ke-28 keseluruhan, 12 minit dan sembilan saat di belakang pemegang jersi kuning, Julian David Arredondo Moreno daripada Team Nippo-De Rosa.
No comments:
Post a Comment