Tuesday, March 12, 2013

Ambil Kira Keselamatan Orang Ramai Bila Pasang Bendera Parti


Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu Isnin meminta parti politik di negeri itu agar mengambil kira aspek keselamatan orang ramai ketika memasang bendera dan sepanduk parti.

Pengarahnya Ahmad Firdaus Haron berkata perbuatan memasang bendera dan sepanduk di tepi-tepi jalan raya yang kini berleluasa membahayakan keselamatan pengguna.

"Ada kes-kes bendera yang dipacak di pembahagi jalan, tumbang. Keadaan ini akan mengundang bahaya apabila kenderaan yang lalu cuba mengelak menyebabkan bertembung dengan kenderaan lain.

"Jadi saya mintalah parti-parti politik di Terengganu agar utamakan keselamatan orang awam di kawasan masing-masing dan tidak memasang bendera parti sesuka hati," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Samiun Salleh berkata pihaknya telah banyak kali menurunkan bendera dan sepanduk yang dipasang di tempat yang tidak sepatutnya.

"Kita dah bagi ingatan kepada semua parti politik, tetapi mereka ini masih lagi memasang bendera atau kain-kain rentang di jalan-jalan raya, di jambatan, tiang-tiang elektrik yang boleh menghalang pemandangan sehingga mengakibatkan kemalangan.

"Kita masih bagi kelonggaran kepada mereka. Namun bendera-bendera yang dipasang di tempat-tempat yang agak merbahaya seperti di atas jambatan, di bulatan atau di tiang-tiang lampu, kita akan tanggalkan," katanya .

'Perang' bendera parti politik di Terengganu kini semakin rancak dengan setiap parti berlumba-lumba mencari lokasi strategik bagi memasang bendera, kain rentang serta sepanduk masing-masing dalam usaha memenangi hati pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13.

No comments:

Post a Comment