Monday, March 11, 2013

Bapa Saiful Pertahan Dakwaan, Tidak Akan Sumpah Laknat


Bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim yang menyertai parti PKR hari ini, menegaskan beliau tidak akan membuat sumpah laknat bagi membuktikan dakwaannya bahawa kes liwat II membabitkan anaknya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu fitnah.

Tegas dengan pendirian bahawa dakwaannya Jumaat lalu adalah benar, Azlan berkali-kali menolak gesaan pelbagai pihak yang mahu supaya beliau melakukan sumpah laknat sama seperti yang dilakukan Mohd Saiful pada 2008 yang mengakui diliwat Anwar.


"Tidak...tidak...saya tak akan bersumpah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Diasak dengan soalan mengapa beliau takut untuk bersumpah laknat sekiranya berada dipihak yang benar, Azlan bagaimanapun dengan tegas menyatakan: "Saya tidak takut (bersumpah)".

 Jumaat lalu Azlan pada sidang media tertutup mendakwa kes liwat II merupakan satu konspirasi bagi menjatuhkan karier politik Anwar.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau dibayar oleh PKR untuk membuat kenyataan 'pusingan U' berhubung kes liwat berkenaan, Azlan berkata:"Saya tidak berhak untuk halang tomahan orang. Biarlah mereka terus buat dakwaan."

No comments:

Post a Comment