Seorang bayi lelaki berusia 27 hari koma dan dimasukkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, sejak semalam, kerana disyaki didera.
Mangsa dibawa ibunya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kijal pagi Selasa lalu, dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan bengkak di badan.
Menurut sumber, ibunya yang berusia 16 tahun tinggal bersama keluarga mentuanya di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Pandan, Kemaman.
Pihak klinik menghantar bayi itu untuk rawatan lanjut ke Hospital Kemaman tetapi selepas mendapat rawatan pada hari Rabu, keadaannya tidak berubah.
Mangsa kemudian dipindah ke HSNZ.
Sumber berkata, bayi itu dipercayai patah tulang rusuk ekoran keadaan badan bahagian rusuknya lebam selain turut muntah darah.
Doktor yang mengesyaki bayi itu didera membuat laporan di pondok polis HSNZ, malam kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Polis masih menunggu laporan hospital mengenai kecederaan dialaminya dan turut menyoal siasat ibunya.
“Tangkapan akan dilakukan jika terbukti bayi itu didera,” katanya.
No comments:
Post a Comment