Monday, March 25, 2013

CIDB Arah Henti 2 Projek Rumah Kedai Di Besut

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan notis pemberhentian kerja pembinaan bagi dua tapak projek pembinaan rumah kedai di daerah Besut, pada 18 Mac lalu.

Pengarah CIDB negeri Terengganu Ahmad Farrin Mokhtar berkata, notis tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan kontraktor yang mengendalikan projek berkenaan mengemukakan Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

"Notis yang dikeluarkan ini adalah berdasarkan kepada peruntukan sedia ada mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

"Susulan penutupan tersebut, dua laporan polis telah dibuat CIDB negeri Terengganu bagi melengkapkan prosedur sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah kontraktor projek pembinaan tersebut yang terlibat.

Mengulas lanjut, Ahmad Farrin berkata, pada masa sama, kontraktor yang terbabit juga telah diberikan peringatan untuk memohon Perakuan Pendaftaran CIDB mengikut gred berkaitan.

Katanya, notis pemberhentian kerja pembinaan itu hanya akan ditarik balik sekiranya kontraktor terbabit memperoleh Perakuan Pendaftaran CIDB. Bagaimanapun, katanya, tindakan mahkamah akan diambil terhadap kontraktor terbabit kerana menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

Pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan tanpa mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB adalah merupakan satu kesalahan dan kontraktor yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 20, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1944 (Akta 520) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment