Monday, March 25, 2013
Kerajaan Terus Beri E-Book, Perkenal Animasi Untuk Pembelajaran Sains
Kerajaan Terengganu akan terus memberikan bantuan pembelajaran berupa E-Book kepada pelajar sekolah kebangsaan di negeri ini selain mempertingkatkan keupayaan program tersebut dalam kalangan murid.
Menegaskan demikian, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pada masa ini syarikat Top-IT, sebuah pengeluar e-Book dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang berbincang untuk menyediakan program pembelajaran sains dalam bentuk animasi.
"Kita akan masukkan program pendekatan baharu dalam E-Book itu membabitkan pembelajaran sains dalam bentuk animasi bagi memudahkan murid sekolah rendah lebih memahami dan sekali gus pembelajaran lebih menyeronokkan.
"Ini kerana program animasi lebih mudah difahami dan jika semuanya berjalan lancar, program animasi itu akan diprogram dalam E-Book pada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan E-Book kepada 741 murid tahun 4 Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail di Kuala Terengganu, semalam.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menambahbaik keupayaan e-Book dengan memasukkan perisian animasi sebagai langkah memudahkan pelajar memahami sesuatu perkara atau subjek melalui pergerakan objek.
Katanya, jika tidak ada apa-apa halangan, kerajaan negeri akan melaksanakan kaedah itu pada akhir tahun ini atau paling lewat, awal tahun depan.
“Perkara ini dianggap penting kerana kebanyakan pelajar dilihat lebih mudah memahami apa yang diajar dalam bentuk animasi atau pergerakan objek berbanding kaedah lama.
“Sebagai contoh, bagaimana proses fotosintesis berlaku, jika digambarkan dalam bentuk itu, mereka mudah faham dan lebih berminat kerana mempunyai pelbagai pergerakan dan objek menarik,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh dan Pegawai Pelajaran Daerah Encik Mansor Ismail.
Seramai 741 pelajar daripada tujuh sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kuala Terengganu, sejumlah lapan pelajar, SK Chendering (72 pelajar), SK Seri Budiman I (82 pelajar), SK Gong Tok Nasek (89 pelajar), SK Kubang Ikan (127 pelajar), SK Pusat Kuala Ibai (173 pelajar) dan SK Seri Budiman II, pula seramai 190 hadir bagi menerima pemberian e-Book secara percuma.
Seorang pelajar SK Gong Tok Nasek, Nurain Qistina Zulkifli, 10, berkata dia sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk menggunakan e-Book yang diterima daripada Menteri Besar dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan di atas pemberian itu yang sudah lama diimpikan kami berdua.
“Saya tahu e-Book ini mahal harganya, disebabkan faktor itu kami tidak memaksa ayah yang bekerja sebagai peniaga membelinya walaupun keinginan untuk memiliki terlalu mendalam,” katanya yang juga pasangan adik beradik kepada Nurin Irdina, 10.
Ibu kepada pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Nurihan Mohd Zain, 44, dia terharu kerana kerajaan negeri turut mengagihkan e-Book kepada pelajar kurang bernasib baik, termasuk anaknya Nur Liyana Zakaria, 11.
Katanya, pemberian e-Book itu cukup bermakna, kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, Liyana lebih mudah memahami apa yang diajar menggunakan kaedah gambar atau objek melalui komputer.
“Apa yang diterima ini sangat dihargai, kerana agak payah untuk membelinya sendiri walaupun menyedari anak terlalu menginginkannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment